Sebuah syarikat produksi filem Hollywood milik anak tiri Datuk Seri Najib Razak memfailkan saman di mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS) terhadap defendan yang tidak dikenali, mendakwa ia “diganggu” orang tidak dikenali, lapor portal hiburan Deadline Hollywood.
Portal berita hiburan yang berpangkalan di AS itu melaporkan, Red Granite Pictures memfailkan aduan pada 29 Julai lalu selepas mendakwa sistem komputernya diakses secara haram dan kakitangannya diganggu melalui emel yang tidak diingini serta menerima ancaman menerusi panggilan telefon.
"Berdasarkan maklumat dan kepercayaan, pada satu tarikh yang tidak diketahui sebelum 10 Julai 2015, defendan secara haram dan tanpa kebenaran mengakses capaian kepada sistem perkomputeran plaintif, dan menggunakan akses yang tidak dibenarkan itu untuk, antara lain, mendapatkan maklumat sulit berhubung operasi perniagaan plaintif, senarai pekerja dan komunikasi dalaman," Deadline Hollywood memetik dari dokumen mahkamah yang difailkan firma guaman Red Granite, Boies, Schiller & Flexner LLP dari New York City.
Laman itu juga melaporkan dokumen itu mendakwa pekerjanya menerima emel dengan pautan ke "catatan blog atau laporan berbaur fitnah mengenai aktiviti tidak wajar yang dikatakan berkaitan dengan plaintif, sering kali turut disertakan dengan tajuk yang sensasi atau menyakitkan hati".
Red Granite merupakan milik bersama Riza Aziz, anak tiri Najib. Beliau bekerjasama dengan penerbit terkemuka Joey McFarland menubuhkan syarikat itu pada 2010 yang sudah menghasilkan beberapa filem Hollywood, termasuk filem yang pernah tercalon dalam Academy Award, 'Wolf Of Wall Street'.
Syarikat itu juga mendakwa menerima "gangguan dan ancaman panggilan telefon terhadap seorang pekerja syarikat berkaitan, yang menasihatkan plaintif".
Dengan menamakan defendan sebagai "John/Jane Does", Red Granite berkata ia terpaksa mengupah perunding keselamatan maklumat akibat daripada perkara itu bagi menangani "gangguan setiap hari".
Deadline Hollywood berkata, langkah memfailkan saman itu mungkin turut meninggalkan kesan di luar industri hiburan, tetapi tidak mengulas lanjut mengenainya.
Laman portal itu juga berkata tidak dapat dipastikan sama ada "aktiviti tidak wajar" yang dinyatakan itu berkaitan dengan siasatan terhadap dana berbilion ringgit yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadi Najib, yang dinafikan beliau digunakan untuk kepentingan peribadi, atau wang haram yang didakwa digunakan untuk membiayai syarikat itu, juga berulang kali dinafikan oleh Riza dan Joey.
Ini bukan kali pertama Red Granite mendapat perhatian kerana sebab yang negatif.
Ia menerbitkan dan membiayai filem 'Wolf of Wall Street' di mana ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, menerima kredit pada penghujung filem berkenaan.
Ia juga menyelesaikan pertikaian selama setahun pada Julai tahun lepas dengan penerbit Steve Stabler dan Brad Krevoy membabitkan filem "Dumb and Dumber Two", sekuel kepada "Dumb and Dumber" berhubung dakwaan "penipuan" dan "keuntungan haram". –The Malaysian Insider
Post a Comment