Sarawak Akan Berdiri Teguh Bersama Najib Dan Zahid, Kata Adenan


KUCHING,(Bernama) -- Sarawak akan sentiasa berdiri teguh bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalan beliau yang baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata ini kerana Najib sentiasa memberi sokongan dan sering melakukan lawatan ke negeri ini.

Adenan berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan Hari Raya anjuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Stadium Tertutup Sarawak di sini malam ini.

"Melalui kunjungan yang kerap beliau lakukan, Najib membawa bersamanya projek bernilai berbilion ringgit. Saya pasti beliau akan membawa banyak lagi.

"Saya juga yakin, Ahmad Zahid akan melakukan perkara sama. Beliau baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri 10 hari lepas, dan hari ini beliau sudah pun melawat kita," katanya.

Menurut Adenan, kekerapan lawatan yang dilakukan itu menunjukkan bahawa Najib mempunyai keyakinan tinggi terhadap negeri ini.

"Sebagai contoh, beliau melantik tujuh anak Sarawak sebagai menteri penuh dan banyak lagi sebagai timbalan menteri dalam kabinetnya dan ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Oleh itu, beliau berhak mendapat sokongan penuh daripada kita," katanya.

Adenan berkata, pada pilihan raya negeri akan datang, beliau berharap rakyat Sarawak akan sekali lagi memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional negeri bagi membolehkannya menang dengan majoriti besar.

"Kami sentiasa berkhidmat dan kami akan terus memberi khidmat, tanpa mengira keadaan," katanya.

Beliau berkata walaupun Sarawak telah menikmati banyak kemajuan dan pembangunan, namun masih banyak kawasan luar bandarnya yang memerlukan infrastruktur dan kemudahan asas.

"Inilah perkara yang kami harap kerajaan persekutuan akan terus membantu kami," katanya.

-- BERNAMA

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget