Sekiranya harga 1 Ogos 2015 ini lebih mahal, ini bermakna kerajaan mengutip cukai tersembunyi daripada rakyat
PETALING JAYA: Pengguna di negara ini sepatutunya mendapat petrol RON 95 dengan lebih murah iaitu RM1.86 seliter
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, ketika ini rakyat terpaksa membayar harga RON 95 dengan harga RM2.15 seliter.
Ia berikutan penyusutan matawang ringgit berbanding dollar Amerika.
“Sekiranya harga yang ditetapkan oleh kerajaan berkuatkuasa 1 Ogos 2015 lebih mahal dari harga-harga ini, bermakna kerajaan mengutip cukai tersembunyi dari rakyat kerana harga ditetapkan lebih mahal,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebagai cadangan Rafizi menyeru Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hamzah Zainudin mengumumkan jadual pengiraan harga minyak setiap hari dan menetapkan harga pada setiap awal bulan.
“Ini memastikan tiada cukai tersembunyi yang dikutip daripada rakyat,” katanya lagi.
Dia juga meminta menteri berkenaan supaya memperkenalkan kembali subsidi sebanyak 30 sen setiap liter yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi mengembalikan harga petrol RON 95, RON 97 dan diesel kepada harga sebenar mengikut harga pasaran iaitu RM1.85 seliter (bagi RON 95).
“Ini penting untuk mengimbangi kesan kejatuhan nilai ringgit yang kini menjadi bebanan utama kepada rakyat,” jelasnya.
Tegasnya, beliau akan terus memantau harga minyak serta pasaran minyak mentah dan akan mengumumkan harga mengikut formula pada setiap akhir bulan sebagai memastikan ketelusan penetapan harga petrol RON 95, RON 97 dan diesel.-Free Malaysia Today
Post a Comment