PM: K'jaan tambah peruntukan tahunan MP BN


Jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno perlu sokongan kuat untuk negara terus kukuh dan berjaya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata kedua-dua institusi itu memerlukan sokongan rakyat terutama anggota Umno supaya ia dihormati dan disegani, dan bukan atas kapasiti peribadi.

"Perdana Menteri dan Presiden Umno hanya kuat jika ahli Umno beri sokongan penuh," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Gerik di Dewan Serbaguna Gerik hari ini.

Najib berkata beliau sentiasa bersedia menerima teguran dalam mentadbir negara dan parti tetapi teguran itu perlu dibuat secara beradab.

"Saya nak terangkan sebagai presiden, bahawa dalam organisasi mesti ada adabnya, mesti ada disiplinnya, bukan tak boleh beri pendapat berbeza. Berbeza pendapat secara tertutup. Kalau menteri, timbalan perdana menteri berbeza pendapat, datang jumpa dapatkan maklumat, beri pandangan kontra pun tiada masalah. Tetapi di luar kita mesti cakap satu nada, satu suara. Ini disiplin parti.

"Kalau nak kawal organisasi kita mesti ada disiplin, baru parti kuat. Tapi saya tak kata tak boleh ditegur. Saya manusia biasa, saya boleh ditegur secara beradab kerana ini prinsip parti Umno. Dan bila kita keluarkan fakta mesti ada asas-asas," katanya.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sering kali berhadapan dengan masalah tetapi ia dapat diatasi dan beliau mengambil contoh peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan yang memberi kesan kepada beliau pada pilihan raya umum (PRU) 1999.

"Saya terima bahang sebab di Pekan merata gambar mata (Anwar) lebam. Hasilnya majoriti undi saya hanya 241 undi. Tapi kita berjaya pulihkan dan pada PRU 2004, kita dapat lebih 24,000 undi majoriti," kata Najib yang merupakan anggota Parlimen Pekan.

Perdana Menteri berkata apabila kalah, Umno dan BN akan menyusun semula strategi parti untuk menguatkan parti dan memberikan sokongan kepada pucuk pimpinan parti.

Najib berkata dalam pemilihan Umno pada 1987, separuh daripada anggota parti tidak mahukan kepimpinan ketika itu sehinggakan presiden parti hanya menang dengan 41 undi dan membawa kepada Umno diharamkan.

"Kita terpaksa tubuhkan parti Umno baru. Saya ketua Pemuda ketika itu. Kita yakin pada pucuk kepimpinan kita, bila kita yakin kita bergerak dalam satu saf yang jitu. Krisis besar berjaya dilepasi oleh Umno dan menjadi parti yang perkasa," katanya.

Najib berkata selagi beliau berkuasa, beliau mahu membantu Malaysia mencapai negara maju dan dengan sokongan rakyat dan anggota Umno, Malaysia akan lebih maju.

"Tiada Umno berkuasa terbangsatlah bangsa Melayu di bumi ini. Saya sebagai presiden akan lakukan supaya Umno dan Barisan Nasional terus berkuasa di bumi bertuah ini," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan menambah peruntukan kepada anggota Parlimen yang kini sebanyak RM5 juta setahun pada tahun depan.

"Dulu RM1 juta, sekarang RM5 juta. Tahun depan tambah lagi. Saya akan umumkan apa-apa yang boleh kita bantu," katanya.

Najib yang juga menteri kewangan turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membina stadium terbuka di Gerik.

- Malaysiakini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget