KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan semua anggota UMNO supaya tidak mengamalkan budaya politik 'sate' agar survival parti terus kukuh.
Naib Presiden UMNO itu berkata, mereka yang menjadi tukang cucuk, tukang kipas atau tukang bakar, tidak boleh wujud dalam parti kerana sikap seumpama itu menjadi antara punca kepada perpecahan dalam kalangan anggota dan merosakkan parti.
Katanya, anggota UMNO perlu mencontohi semangat dan prinsip Timbalan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan perjuangan dalam parti walaupun digugurkan daripada Jemaah Menteri.
"Tetapi jangan ada yang jadi tukang cucuk, jangan jadikan politik seperti sate dan lebih teruk bila ada tukang kipas," kata Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kepong, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Rizuan Abd Hamid.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, keserasian dalam politik mesti dipertingkat supaya terdapat kesinambungan antara kepimpinan di semua peringkat.
Tambah beliau, ketika ini kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO sedang diuji, dengan pembangkang cuba membawa pelbagai isu untuk memporak-perandakan keadaan.
Bercakap pada sidang akhbar kemudian, Timbalan Perdana Menteri berkata, semua kepimpinan UMNO di setiap peringkat harus menghormati pendirian Muhyiddin untuk terus kekal bersama parti.
Katanya, beliau percaya Muhyiddin sebagai pejuang sejati UMNO akan mengotakan janjinya untuk kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO, dan tidak sesekali bersama pembangkang termasuk tidak menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan kerajaan dalam Persidangan Dewan Rakyat.
"Saya sebagai Naib Presiden akan terus sokong pegangan beliau (Muhyiddin) dan memohon kepada semua kepimpinan di peringkat akar umbi bahagian, negeri atau nasional menghormati pendirian itu," katanya. - BERNAMA
- Utusan Online
Post a Comment