Datuk Joseph Mauh Ikeh |
SELANGAU: Belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin mahu Datuk Joseph Mauh Ikeh mempertimbang hasrat berundur dan terus kekal mempertahan kerusi DUN Tamin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presiden Kelab Rekreasi (KRS) DUN Tamin Henry Kanyan yang mewakili suara belia di kawasan tersebut mahu Mauh mempertahan kerusi tersebut buat sepenggal lagi.
“Kami belia di DUN Tamin ini mahu beliau (Datuk Joseph Mauh) terus berkhidmat kepada rakyat di sini. Belia memerlukan beliau untuk menjadi wakil rakyat di sini.
“Bagaimanapun, jika beliau ingin meneruskan hasratnya untuk berundur, kami terpaksa akur walaupun ia bukan perkara yang mudah untuk diterima semua golongan melihat kepada pembangunan dan bantuan yang diberikannya selama ini,” katanya.
Jelasnya, belia di kawasan itu mengucapkan berbanyak terima kasih atas jasa dan perhatian beliau di kawasan DUN Tamin.
Henry Kanyan berkata demikian ketika merasmikan pertandingan futsal anjuran Unit Sukan DUN Tamin sempena Bulan Kemerdekaan 2015 di Gelanggang Futsal Sekuau, semalam.
Beliau memberitahu, berdasarkan perangkaan pejabat Kementerian Belia dan Sukan Bahagian Sibu terdapat seramai 9,505 belia di kawasan DUN Tamin.
“Kerajaan telah merancang pelbagai bentuk kemudahan dan program pembangunan sukan di DUN Tamin ini.
“Justeru, saya menyeru kepada belia di kawasan ini supaya merebut semua peluang yang disediakan oleh kerajaan,” jelasnya.
Henry Kanyan juga mahu semua belia di kawasan DUN Tamin terus bersatu dalam membina sebuah komuniti yang berjaya.
Pertandingan futsal tersebut yang diadakan pada 1 dan 2 Ogos ini telah disertai 12 pasukan yang dibarisi golongan belia berusia 16 tahun ke atas.
Hadir sama ialah Pengerusi KRS Sekuau Nyireng Saleh.
- Borneo Post Online
Post a Comment