Lebih 10,000 orang awam dari dalam dan luar Sibu membanjiri Dataran Sibu seawal jam 7 pagi bagi menyaksikan Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena sambutan itu.
Ketibaan Tun Taib bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib disambut oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem serta isteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, menteri-menteri kabinet, menteri muda dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Sejurus ketibaan Tun Taib, majlis istiadat dimulakan dengan pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormat Utama dan kontinjen perbarisan dengan disertai tembakan meriam.
Kira-kira 105 kontinjen menyertai perbarisan semalam yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi dari badan kerajaan dan bukan kerajaan, pasukan keselamatan, pertubuhan, badan beruniform, organisasi dan sebagainya.
Orang ramai turut berpeluang menyaksikan perarakan jentera-jentera berat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Turut menyertai perarakan itu ialah kenderaan motosikal berkuasa tinggi dan Yamaha LC, kereta Toyota Vios dan Perodua Viva.
Sambutan diserikan lagi dengan pelbagai persembahan padang seperti tarian, nyanyian lagu khas buat hari jadi Tun Taib dan banyak lagi.
Acara kemuncak majlis menyaksikan teriakan ‘Dirgahayu’ kepada Tun Taib dan acara simbolik hari jadi.
Sekitar jam 10.30 pagi, Tun Taib berserta isteri berangkat meninggalkan majlis diiringi Ketua Menteri serta isteri dan dif-dif kehormat yang lain.-Utusan Borneo
Post a Comment