Rebut peluang kempen sukat tanah NCR giat dilaksana kerajaan


SKRANG: Pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) disaran merebut peluang kempen penyukatan tanah yang kini giat dilaksana kerajaan manakala pemimpin masyarakat perlu memperkasa peranan memberi pencerahan kepada penduduk mengenai manfaat kempen berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong berkata, sehubungan itu tuai rumah dan penghulu digesa memain peranan dengan memberi penerangan sebenar niat murni kerajaan yang harus direbut segera.

“Saya harap agar anda sebagai pemimpin akar umbi dapat memberi penerangan jelas agar rakyat tidak terkeliru dengan niat murni kerajaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmi Projek Bekalan Air Paip Graviti bernilai RM98,000 di Rumah Jensen Nyanggau di Pematoh, Skrang di sini semalam.

Katanya, projek itu siap dalam masa 16 hari menerusi gotong-royong dan proses pembinaannya dipantau Jabatan Kesihatan Betong.

“Dakwaan bahawa kerajaan bersembunyi di sebalik kempen menyukat tanah NCR untuk tujuan merampasnya perlu dijelas secara terperinci kepada rakyat.

“Tidak mungkin kerajaan mahu merampas tanah rakyat, itu satu tuduhan tidak berasas sama sekali,” katanya.

Tambahnya, tuai rumah harus memaklum kepada Jabatan Tanah dan Ukur untuk tujuan menyukat tanah NCR agar ia dapat diberi surat hak milik kekal.

“Bila sudah ada surat hak milik bermakna tanah itu tidak boleh dipindah milik sewenang-wenangnya. Justeru saya berharap agar tanah itu dapat dimaju dengan tanaman komersial seperti kelapa sawit, getah mahu pun lada.

“Saya menggalak pemilik tanah NCR dapat menanam pokok engkabang yang juga dikenali meranti merah atau pokok durian untuk dijadi kayu balak,” katanya.

Tambahhya, pekebun juga jangan terlalu bergantung kepada satu jenis tanaman untuk mengelak kejatuhan harga komoditi itu.

“Seeloknya-eloknya minta bantuan dan khidmat nasihat agensi kerajaan berkaitan seperti RISDA, MPOB, SALCRA dan sebagainya agar tanah itu dapat memberi pulangan berbaloi,” katanya.

Berkenaan projek bekalan air paip graviti itu ia merupakan salah satu usaha murni kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) menyediakan bekalan air berterusan dan ia tidak terhenti di situ sebaliknya akan banyak lagi pembangunan disalurkan kepada rakyat di negeri ini.

“Justeru jangan membelakangkan kerajaan yang ada kini yang sangat prihatin dengan jerih perit rakyat terutama di kawasan luar bandar yang masih ketinggalan.

Sehubungan itu, beliau mahu rakyat khusus pengundi kekal bersama kerajaan pada pilihan raya negeri akan datang serta memberi peluang kepada Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk memegang tampuk pemerintahan untuk penggal seterusnya.

“Adenan terlalu banyak pencapaian cemerlang sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, justeru marilah bersama saya yang akan kekal mempertahankan DUN Engkilili untuk menghadiahkan kemenangan dengan majoriti yang lebih besar,” tegasnya.

Malah kelmarin katanya, Parti Rakyat Bersatu (UPP) telah melancarkan tabung pendidikan khusus untuk anak- anak yang ingin menyambung pendidikan setinggi yang boleh dan dana yang kini berjumlah RM50 juta itu harus direbut.

“Kerajaan sedar hanya menerusi pendidikan dapat mengangkat taraf hidup terutama anak-anak generasi luar bandar…justeru kita menerusi UPP mewujudkan tabung itu dengan sasaran satu keluarga satu individu graduat,” kata Dr Rayong lagi.

Pada majlis itu Dr Rayong turut menyampaikan geran MRP kepada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah Jensen berjumlah RM10,000 manakala Persatuan Wanita menerima RM5,000.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak, wakil dari Jabatan Tanah dan Ukur David Laing, wakil Pejabat Kesihatan Betong, para kaunselor dan tuai-tuai rumah dari kawasan sekitar.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget