Undang-undang berkaitan pembangunan dikaji


KUCHING: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mengkaji semula beberapa undang-undang berkaitan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam agensi di bawah kementerian ini agar lebih dinamik.

Menterinya Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kajian semula ke atas undang-undang ini perlu dilakukan kerana sebahagian daripadanya digubal pada 1980-an dan kurang relevan untuk diguna pakai pada masa kini.

“Saya telah mengkaji lima hingga enam undang-undang membabitkan agensi penyelidikan dalam kementerian saya yang mempunyai halangan-halangan tertentu serta membantutkan usaha kita dalam bidang R&D.

“Atas sebab itu saya telah memberi arahan kepada ketua pengarah kementerian saya untuk membuat kajian semula undang-undang dan diberi nafas baharu dengan memberi perkongsian dan motivasi kepada pihak penyelidik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek MRP kepada pertubuhan dan persatuan di bawah Parlimen P.193 Santubong di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Santubong di sini semalam.

Sebanyak 23 pertubuhan dan persatuan menerima cek MRP tersebut dengan jumlah keseluruhan RM60,000.

Tambah Wan Junaidi, antara undang-undang yang perlu diberi nafas baharu ialah undang-undang Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang hanya memberi tumpuan kepada pencarian produk-produk perkayuan.

Wan Junaidi turut mencadangkan pembinaan Pusat Penyelidikan Akasia bagi seluruh ASEAN di Sarawak dengan mengambil kira sumber akasia yang banyak dijumpai dan ditanam di negeri ini yang telah meningkat kepada 243,000 hektar.

Bagi tujuan itu, beliau akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat ini bagi membolehkan pusat penyelidikan tersebut dibina di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berharap kerajaan pusat akan memberi lebih tumpuan kepada pembangunan di luar bandar dalam Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada Oktober depan.

Peruntukan yang besar bagi pembangunan luar bandar adalah penting terutama dalam menyediakan prasarana yang lebih baik bagi sekolah-sekolah di luar bandar selain kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya.

Pada masa yang sama beliau juga mahu tumpuan diberi kepada pembangunan keusahawanan serta industri kecil dan sederhana di kalangan masyarakat Bumiputera luar bandar.

Seperti yang diumumkan kelmarin, kementeriannya akan memperuntukan RM1 bilion kepada Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi program tebatan banjir melibatkan bandar raya Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget