MCA: DAP gagal fahami sensitiviti orang Melayu

KUALA LUMPUR 7 Sept. - DAP perlu bertanggungjawab di atas keangkuhan, kesombongan dan keengganannya untuk memahami orang Melayu dan menghormati agama Islam yang boleh menyebabkan perpaduan kaum berada dalam keadaan goyah.
TI LIAN KER
Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mendakwa, pemimpin dan ahli DAP gagal untuk memahami sensitiviti orang Melayu dan menjadi penyebab ketegangan kaum semakin memuncak.

“Apabila pemimpin DAP mempermainkan pemimpin Melayu seperti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka tidak peduli perasaan dan kemarahan yang dirasakan orang Melayu.

“Mungkin adab orang Melayu yang menuntut untuk tidak kurang ajar dan bersabar menyebabkan pemimpin DAP berulang kali memperkecilkan pemimpin Melayu yang lama-kelamaan boleh memercikkan api persengketaan antara kaum,” dakwanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok mengecam Lian Ker yang disifatkan sebagai ‘mayat berjalan’ berikutan kenyataannya mengenai Bersih 4.

Teresa berkata demikian apabila mendakwa Lian Ker mengulang mesej tajuk berita Utusan Malaysia yang menggambarkan DAP mengawal perhimpunan Bersih 4.0.

Dakwa Lian Ker, tindakan kurang ajar penyokong DAP di perhimpunan Bersih 4.0 tidak mewakili semua kaum Cina dalam negara.

“Apabila ada yang memijak gambar pemimpin Melayu di Bersih 4.0, orang Melayu akan memandang serong kepada keseluruhan kaum Cina walhal mereka hanya mewaki­li DAP.

“MCA tidak mahu insiden se­perti 13 Mei berlaku lagi dan DAP perlu bertanggungjawab terhadap segala hal menyebabkan ketegangan kaum yang telah mereka wujudkan, bukan terus mengapi-apikan masyarakat Cina dengan kemarahan untuk membenci kerajaan yang akhirnya akan menyebabkan perpecahan,” dakwanya.

Dakwa Lian Ker, walaupun pernah tidak setuju dan mengkritik pemimpin Pas mengenai polisi, beliau tidak pernah menggunakan serangan peribadi untuk menghentam dan mempermainkan Presiden parti itu seperti yang dilakukan DAP.

“Dalam politik, apabila emosi sedang memuncak, kaum dan agama akan menjadi isu utama dan inilah yang digunakan DAP untuk mendapat sokongan tanpa berfikir mengenai perpaduan kaum. Ini menunjukkan DAP gagal sebagai parti yang kononnya memperjuangkan nasib pelbagai kaum,” dakwanya.

- Utusan Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget