Rafizi disiasat polis kerana laungan ‘Tangkap Najib, Tangkap Rosmah’


KUALA LUMPUR 9 SEPT: Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli disiasat polis berhubung laungan ‘Tangkap Najib, Tangkap Rosmah’ dalam ucapannya pada perhimpunan Bersih 4 hujung Ogos lalu.

Beliau kesal kerana polis tidak langsung bertanya mengenai isi kandungan ucapan berkenaan tetapi hanya berminat menyiasat laungan tersebut.

“Saya berasa lucu kerana soalan-soalan yang ditanya berhubung siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan adalah bersabit laungan ‘Tangkap Najib, Tangkap Rosmah’.

“Saya ditanya sama ada saya ada memimpin laungan itu dan berapa kali saya melaungkan ‘Tangkap Najib, Tangkap Rosmah’.

“Saya tidak ditanya langsung mengenai kandungan lain ucapan saya kecuali laungan ‘Tangkap Najib, Tangkap Rosmah’,” kata Rafizi dalam kenyataan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung KEADILAN memberikan kenyataan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pagi tadi.

Menurut Rafizi, keterangan beliau diambil dalam dua kertas siasatan – pertama mengikut Kanun Keseksaan berkenaan ucapan yang dibuat semasa Bersih 4, kedua – mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memakai baju kuning Bersih 4 yang diharamkan.

Ujarnya, tindakan tersebut merupakan pembaziran ketara dilakukan polis.

“Polis diarahkan menyiasat perkara-perkara yang kini menjadi sentimen rakyat seperti laungan ‘Tangkap Najib, Tangkap Rosmah’.

“Jika saya disiasat kerana laungan itu, maknanya pihak polis terpaksa menyiasat berjuta-juta rakyat Malaysia yang memberikan komen lebih kasar daripada itu,” kata Ahli Parlimen Pandan itu lagi.

Rafizi menyeru kepimpinan polis berhenti mengarahkan pegawai bawahan mereka berbuat demikian dan sebaliknya diberikan ruang memerangi jenayah.

“Bukannya menyiasat kata-kata orang ramai yang menyinggung Perdana Menteri dan isteri beliau,” katanya.-Keadilan Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget