Permintaan tinggi


BINTULU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu masyarakat khasnya golongan belia mengikis tanggapan bahawa pendidikan teknikal dan vokasional adalah pilihan kedua selepas universiti atau kolej.

Beliau berkata, sebelum ini rata-rata ibu bapa dan pelajar memfokus kepada peluang dalam akademik semata-mata seterusnya melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

“Kini, pandangan sedemikian harus dikikis kerana jurusan teknikal dan kemahiran mempunyai permintaan yang amat tinggi dalam pasaran kerja pada masa sekarang.

“Sebagaimana yang kita semua maklum, sering kedengaran isu graduan menganggur serta tidak mampu untuk berdikari selepas tamat pengajian, sekali gus menyukarkan mereka untuk bersaing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu yang terletak di Jalan Bintulu-Sibu di sini, pagi semalam.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh.

Sambil menyifatkan pembukaan ADTEC Bintulu sebagai tepat pada masanya, Adenan menaruh keyakinan tinggi ia akan menjadi satu lagi institusi pengajian jurusan teknikal dan vokasional yang berupaya melahirkan ramai graduan pelbagai bidang bagi menampung keperluan industri gas dan minyak serta industri hiliran lain di Bintulu khususnya dan Sarawak amnya.

“Apa yang saya harapkan ialah ADTEC akan menjadi sebuah institusi teknikal dan kemahiran di Wilayah Tengah Sarawak yang berupaya menghasilkan ramai graduan tempatan, khususnya anak jati tempatan.

“Ini bagi membolehkan mereka mengisi pelbagai peluang pekerjaan dalam bidang perindustrian di negeri ini khususnya di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang sudah mula dilaksanakan pada masa sekarang,” katanya.

Adenan turut menasihati golongan belia agar memperkayakan diri dengan ilmu pengetahuan dalam bidang perindustrian supaya mereka dapat merebut peluang pekerjaan serta perniagaan impak daripada pembangunan SCORE serta industri hiliran lain.

“Ingin saya nasihatkan di sini bahawa semua lepasan sekolah harus bijak memilih bidang yang mendapat tempat dalam pasaran kerja bagi menyenangkan mereka memperolehi pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau juga bangga dengan perkembangan semasa kemajuan perindustrian di negeri ini khususnya di Wilayah Tengah Sarawak yang sedang mengalami pembangunan pesat.

Perkembangan itu, jelasnya, merupakan usaha kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang menyasarkan Sarawak mencapai taraf negeri maju menjelang 2030.

“Apa yang saya lihat pada masa sekarang iaitu pembangunan pesat yang dinikmati memberikan keyakinan kepada semua pihak bahawa negeri akan mampu bergerak seiring dengan pembangunan yang dinikmati di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget