Penduduk sokong empangan hidroelektrik Baleh


KUCHING: Penduduk di Kapit khusus kawasan Baleh menyokong sepenuhnya pembinaan empangan hidroelektrik Baleh.

Keputusan itu disuara wakil penduduk terdiri daripada 30 ketua masyarakat kawasan berkenaan semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya semalam.

Mengetuai kunjungan hormat yang turut disertai NGO – Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) dan Kesatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) ialah Menteri Kemajuan Tanah yang juga ADUN Baleh Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing.

“Saya membawa semua ketua masyarakat Melayu, Iban, Cina, Beketan dan Tanjung serta NGO di Kapit untuk memberitahu Ketua Menteri bahawa kami menyokong sepenuhnya pembinaan empangan tersebut.

“Kami memerlukannya secepat mungkin dan sehubungan itu, kami mahu Ketua Menteri supaya tidak rasa ragu-ragu membina empangan Baleh untuk memberi sokongan sepenuhnya,” kata Masing kepada pemberita ketika ditemubual.

Menurut Masing, keputusan disuarakan kepada Adenan itu dijamin kerana ketua masyarakat terbabit sudah berbincang dengan semua ‘tuai rumah’ khususnya di kawasan Baleh.

Katanya, terdapat kira-kira 170 rumah panjang di kawasan Baleh dengan populasi penduduk sekitar 30,000 orang.

“Maka itu, apa mereka sebut satu pengaruh kerana mereka menyampaikan apa diinginkan oleh tuai rumah,” katanya.

Menjelas lanjut, Masing berkata pembinaan empangan Baleh membawa banyak manfaat terutama dari segi kemudahan jalan raya kepada penduduk terutama di kawasan Baleh.

Beliau memberitahu pada masa ini, laluan penghubung utama penduduk di kawasan berkenaan adalah menerusi sungai dan jalan balak.

“Tanpa empangan itu, jalan tidak akan dapat dibina ke kawasan itu. Bila kita menyediakan jalan raya maka pembangunan lain akan menyusulinya.

“Ini kerana saya telah cuba sedaya upaya untuk menarik minat pelabur supaya melabur di Baleh dan soalan pertama mereka ajukan ialah bagaimana keadaan jalan di sana.

“Apabila saya berkata menggunakan perahu, mereka tidak mahu pergi ke sana,” kata Masing.

Masing turut memberitahu projek berkenaan kini masih dalam proses bidaan tender dan masih belum ada kata putus untuk ia mula dilaksanakan.

“Sangat penting bagi saya sebagai wakil rakyat dari kawasan tersebut agar pembinaan empangan Baleh diteruskan kerana seiring dengannya, jalan raya dan pembangunan lain akan menyusul,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget