Menurut NGO yang diberi nama Pertubuhan Persahabatan Malaysia (SAHABAT) itu, demonstrasi jalanan dilihat sebagai ikutan terhadap anasir luar yang bertujuan mengkucar-kacirkan pentadbiran negara.
Malah, Presiden SAHABAT Syed Husain Al-Shahab turut mengatakan, sebarang perhimpunan yang diadakan sama ada oleh pihak bertema kuning atau merah didakwa akan mengganggu ketenteraman awam.
“Demonstrasi jalanan dengan bertema warna kuning, merah, hitam dan sebagainya adalah satu kejayaan anasir luar dan mewujudkan anarki dan ketidakstabilan negara kita.
“Selepas demonstrasi kuning, disusuli dengan demonstrasi merah. Sedikit masa lagi pelbagai warna digunakan untuk berdemonstrasi dan mengganggu ketenteraman awam, mengawatkan peniaga dan menggusarkan para pelancong,” katanya pada sidang medianya di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun, ditanya sama ada NGO itu akan menyertai Himpunan Rakyat Bersatu yang diadakan esok, Syed Husain berkata beliau bersama kira-kira 5,000 ahlinya akan turut serta dalam perhimpunan itu nanti.
Walaupun tidak bersetuju demonstrasi jalanan diadakan namun Syed Husain akan turut serta dalam perhimpunan ‘Baju Merah’ itu dengan alasan ia perhimpunan yang mempunyai permit.
“Saya insya-Allah akan pergi.
“Anggaran dalam lima ribu akan sampai. Dengan syarat ada permit. Kita turun nak sokong perhimpunan Melayu, nak tunjuk Melayu boleh bersatu dan tiada niat untuk provokasi, menghina atau mengapa-apakan orang awam,” katanya.
Namun, beliau berharap selepas perhimpunan Baju Merah 16 September ini, tidak akan ada lagi perhimpunan yang dibuat oleh mana-mana pihak.
Beliau juga berharap agar Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengawal dan bertindak tegas berhubung perkara yang melibatkan perhimpunan dan demonstrasi jalanan.
“Cuma selepas esok, diharapkan tak ada lagi benda macam ini (demonstrasi jalanan),” katanya lagi.
Esok Himpunan Rakyat Bersatu akan diadakan di Padang Merbok. Perhimpunan itu telah mendapat kelulusan daripada pihak polis dan akan disertai oleh pelbagai NGO termasuk Umno.
Perhimpunan 16 September pada mulanya dirancang sebagai perhimpunan balas terhadap BERSIH 4 selepas tersebarnya imej peserta memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ia juga sebelum ini disebut sebagai perhimpunan demi menegakkan maruah Melayu dengan nama Himpunan Melayu Bersatu.
Namun pihak penganjur Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), kemudian menjenamakan semula dan menjemput penyokong kerajaan serta semua kaum untuk menghadirinya.-Malaysiakini
Post a Comment