Pihak tidak bertanggungjawab sentiasa hasut penduduk luar bandar, sebar maklumat kurang tepat
Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi mengingatkan mereka bahawa pihak tidak bertanggungjawab sentiasa mencari peluang untuk mengambil kesempatan terhadap penduduk luar bandar dengan menghasut mereka dan menyebarkan maklumat kurang tepat.
“Penduduk perlu berhati-hati, jangan dengar kata-kata orang luar lebih-lebih lagi jika tidak pasti mengenai perkara tersebut,” katanya semasa mengadakan lawatan ke Rumah Changgai, Hulu Niah dekat sini petang kelmarin.
Mengenai perladangan kelapa sawit secara komersil penduduk kampung di kawasan berkenaan, Rundi berkata perladangan tersebut seperti juga perniagaan lain tidak selalunya mendapat keuntungan.
“Perladangan kelapa sawit bukannya sentiasa untung sepanjang masa, ada kalanya juga kita mengalami kerugian.
“Justeru, apabila memperolehi keuntungan daripada hasilnya jangan dihabiskan segera, beringatlah untuk masa depan dan simpan untuk keperluan lebih-lebih lagi yang mempunyai anak-anak bersekolah,” jelasnya.
Rundi yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar), turut menasihati mereka supaya jangan takut berbelanja dan mengeluarkan simpanan tersebut demi pendidikan anak-anak terutama apabila anak-anak sudah melangkah ke peringkat lebih tinggi dan ijazah.
“Semakin tinggi mereka belajar, maka semakin mahal perbelanjaan pendidikan mereka tetapi perbelanjaan yang kita keluarkan itu adalah ‘pelaburan’ yang berbaloi untuk masa depan anak-anak dan keluarga suatu hari nanti,” ujarnya.
Pada majlis sama ketua kaumnya, Tuai Rumah Changgai Deli memohon bantuan Rundi membantu mereka mencari penyelesaian menangani banjir yang kerap melanda rumah panjang tersebut menjelang musim hujan dan tengkujuh.
Pihaknya bersedia memberi kerjasama membolehkan kajian dibuat membantu mengatasi masalah banjir membelenggu mereka sejak sekian lama kerana kedudukan rumah panjang itu terletak di kawasan rendah.
Dr Rundi turut menyerahkan geran peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) kepada lima penerima iaitu tiga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Satu serta Kelab Rekreasi dan Sukan Majlis Daerah Subis.-Utusan Borneo
Post a Comment