PETALING JAYA: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan membidas Penganjur Bersih 4.0 yang bersikap keanak-anakan kerana memperbesarkan isu tersilap alamat.
Katanya, perkara itu tidak seharusnya dijadikan isu besar kerana kesilapan tersebut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
“Pegawai saya telah pergi ke tempat yang betul, tetapi malangnya Bersih 2.0 tidak meletakkan sebarang papan tanda yang menyatakan rumah tersebut adalah pejabat mereka.
“Pegawai saya secara tidak sengaja telah tersalah rumah dan didapati rumah tersebut bersebelahan dengan pejabat Bersih 2.0,” katanya.
Beliau berkata, selepas menyedari kesilapan itu, pegawainya sekali lagi pergi ke pejabat Bersih dan ke rumah yang betul tetapi rumah itu seperti tidak berpenguni.
“Bahkan, tidak ada sesiapa yang ada di situ untuk menerima notis tuntutan kos pembersihan,” katanya.
Dalam status Facebook miliknya, Abdul Rahman turut menyatakan, jumlah tuntutan sebanyak RM65,000 itu tentunya tidak akan menjadi suatu bebanan buat penganjur Bersih 2.0 ekoran wang jutaan ringgit telah masuk ke dalam akaun hasil derma dari rakyat.
“Jika mereka terus enggan membayar notis tersebut, ia menunjukkan bahawa mereka telah mengambil duit derma itu,” katanya yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional.
Mengulas lanjut, Rahman berkata, tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya demonstrasi Bersih terus diadakan pada masa akan datang.
“Jika Bersih enggan membuat bayaran, jika Bersih mengadakan sekali lagi demonstrasi haram di Kuala Lumpur, saya akan buang sampah itu di hadapan pejabat mereka.
“Pada waktu itu, saya beri jaminan sampah akan dihantar ke alamat yang betul.” ujarnya.
- Free Malaysia Today
Post a Comment