SHAH ALAM, 7 SEP: Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku Perdana Menteri sepatutnya membawa usul undi tidak percaya bagi membersihkan nama serta mempertahankan dirinya sendiri dalam isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata beliau secara peribadi bertindak sedemikian jika berada di dalam situasi Najib bagi mempertahankan kebenaran sekaligus menyangkal dakwaan yang terpalit kepadanya.
Menurutnya, parkara itu penting memandangkan ia melibatkan kepercayaan rakyat dan dunia luar terhadap Kerajaan Malaysia.
"Usul itu penting bagi mempertahankan integriti dan menjelaskan kepada semua perkara sebenar yang sudah berlaku. Saya akan mempertahankan diri saya di Parlimen," katanya kepada Selangor Kini.
Sebelum ini, pelbagai pihak mencadangkan supaya usul undi tidak percaya dan sidang tergempar diadakan di Dewan Rakyat bagi membolehkan Najib menjelaskan secara terperinci dakwaan yang dilemparkan kepadanya.
Tambahan pula, Pengerusi Transparency International, Jose Ugaz dalam satu kenyataan menggambarkan Malaysia sedang berdepan dengan krisis rasuah yang besar.
Dalam perkembangan sama, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegaskan tidak ada menteri, termasuk Perdana Menteri, dibenarkan menolak sebarang usul sebelum ia dikemukakan.
- Selangorkini
Post a Comment