Jangan adakan Perhimpunan Baju Merah 16 Sept: Karim

Tiada keperluan untuk perhimpunan seperti itu diadakan di Sarawak, hanya akan menjejas sambutan Hari Malaysia

KUCHING: Rakyat di negeri ini dinasihati supaya tidak menjejaskan sambutan Hari Malaysia dengan mengadakan Perhimpunan Baju Merah pada 16 September ini.

Menteri Muda Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata meskipun mereka boleh berbuat demikian namun tiada keperluan untuk perhimpunan seperti itu diadakan di sini.

“Inilah akibatnya apabila ada di kalangan pemimpin memulakan angkara demonstrasi atas nama atau warna tertentu dalam negara majmuk seperti Malaysia.

“Kalau BERSIH 4 boleh keluar berdemonstrasi menggunakan warna kuning atas tujuan tertentu mengapa tidak badan-badan lain.

“Tetapi pada pandangan saya, rakyat Sarawak tidak perlu keluar berdemonstrasi menggunakan warna merah pada 16 September ini.

“Jika orang Malaya hendak berbuat demikian silakan. Tetapi tidak bagi kita di Sarawak ini kerana kita sudah cukup aman dan harmoni,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Karim yang juga Menteri Muda Perumahan, pada 29 Ogos lepas penganjuran perhimpunan BERSIH 4 oleh pembangkang di Sarawak telah mencapai kegagalan.

Maka tidak perlu lagi rakyat negeri ini menimbulkan ketegangan dengan penganjuran Perhimpunan Baju Merah seperti yang dirancang di Kuala Lumpur, 16 September ini.

“Kalau hendak sokong perhimpunan merah anda boleh pergi ke Kuala Lumpur untuk menunjukkan solidariti anda tetapi jangan bawa budaya ini di Sarawak.

“Kita sudah cukup aman dan harmoni dan jangan timbulkan ketegangan yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian yang dikecapi kita pada masa ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget