Inisiatif rapat bandar, luar bandar


KUCHING: Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri dan nasional bergabung buat pertama kalinya bagi menjayakan Program Pemuda BN Untuk Masyarakat di Long Busang, Belaga dari 24 hingga 26 September ini.

Pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di sini semalam, Ketua Pemuda BN Negeri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata program ini melibatkan seramai 73 pemuda dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan luar Belaga.

Tujuannya adalah bagi menyahut saranan Perdana Menteri dan Ketua Menteri yang menekankan pembangunan luar bandar di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk merapatkan jurang antara luar bandar dan bandar.

“Salah satu inisiatif untuk merapatkan jurang antara luar bandar dan bandar adalah dengan membawa pemimpin-pemimpin muda ke luar bandar untuk menyelami dan memahami masalah serta kehidupan masyarakat di luar bandar.

“Sebab itu, program ini yang asalnya merupakan idea pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang diketuai Liwan Lagang diangkat sebagai program Pemuda BN nasional disokong oleh Pemuda BN negeri,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai program itu, menurut Fadillah, ia akan di-pengerusikan Liwan dan antara aktiviti yang akan diadakan ialah gotong-royong membina klinik serta membaik pulih sekolah.

Selain gotong-royong, turut akan diadakan aktiviti sukan antara gabungan Pemuda BN nasional, negeri dan pemuda dari Bahagian Belaga serta sesi dialog bersama Ketua Pemuda BN Malaysia Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, kesemua 73 pemuda yang menyertai program itu bakal menem-puh perjalanan sukar menggunakan bot dan perahu panjang selama lapan hingga sembilan jam dari Bakun sebelum tiba di Long Busang.

Menerusi pendedahan ini, para peserta yang terdiri dari kalangan Pemuda BN serta merupakan pemimpin masa depan akan dapat memahami, menghayati serta menyelami dengan lebih mendalam mengenai kehidupan sukar yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar.

Selain program itu, Pemuda BN menurut Fadillah turut bergerak aktif dengan pelbagai cara di peringkat nasional, negeri dan juga komponen BN.

Selain memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar, katanya, Pemuda BN juga memberi fokus kepada bidang kerjaya di mana satu program akan di-laksanakan pada masa akan datang di kawasan separa bandar.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget