Persekutuan Persatuan Cina bagi Bahagian Sri Aman/Betong dengan 15 sekutunya tampak hebat dan menakutkan, tetapi itu kerana mereka memiliki sifat ikan buntal, membesarkan diri sendiri agar nampak menggerunkan.
Namun, menurut pengakuan sendiri, mereka cuma kumpulan minoriti.
Persekutuan itu dengan 15 ahli bersekutunya mungkin fikir mereka mewakili majoriti masyarakat Cina di Sri Aman dan Betong, tetapi mereka tersasar sekiranya berfikir mewakili suara majoriti pengundi Cina di kawasan tersebut.
Setakat yang diketahui persekutuan dan ahli bersekutunya, ahli mereka yang hadir dari Sri Aman dan Betong tidak semestinya pengundi di Simanggang, jadi mengapa Harden perlu memikirkan tentang mereka? Mengapa perlu Ketua Menteri Adenan Satem melakukannya?
Bukankah ini persekutuan yang diterajui pemimpin United People’s Party (UPP) yang satu ketika dahulu mengancam akan menulis surat kepada Adenan, menuntut Harden diketepikan dari mempertahankan kerusinya?
Bukankah surat telah dihantar? Dan kenyataan media dibuat seiringan dengannya?
Dosa politik yang dilakukan Harden, menurut kenyataan media terbaru mereka, ialah menjauhkan dirinya dari majoriti masyarakat Cina di kawasannya, dengan tidak endahkan rayuan dan permintaan yang dihantar melalui persekutuan.
Apa permintaan dan rayuan tersebut?
Jurucakap mereka dipetik berkata, "Permintaan kami tulen dan berkenaan kepentingan orang ramai seperti membaiki prasarana asas, melebarkan jalan, meningkat bekalan air, membaiki kemudahan hospital, membina hospital baru dan sebagainya.
"Ahli bersekutu kami di masa lampau mencadangkan calon berpengaruh, berkebolehan dan terkenal bagi mewakili puak/persatuan bagi dilantik sebagai pemimpin komuniti. Tetapi Adun kami mencadangkan kumpulannya sahaja, dan ramai di kalangan mereka tidak berpengaruh di dalam komuniti mereka sendiri."
Persekutuan dan 15 sekutunya meminta yang bukan-bukan. Mereka perlu tahu ada perkara yang di luar bidang kuasa Adun mereka.
Mereka takkan terlupa bahawa di bandar lebih besar, seperti Sibu, ada sebahagian bandar yang mendap dan ketua UPP Wong Soon Koh tak mampu melakukan apa-apa.
Berkenaan perlantikan pemimpin komuniti, amalan di Sarawak ialah bagi Adun memilih pihak yang selesa bekerja dengannya.
Sekiranya Harden tidak memilih calon yang dikemuka persatuan, tentu kerana dia kurang selesa. Ia semudah itu.
Soon Koh melakukan perkara sama. Dia memilih sesiapa yang disukainya sebagai ahli majlis bandaran, kapitan, penghulu, pemancha dan temenggong.
Bagi Harden dan ahli partinya, Sarawak United People’s Party (SUPP), ramai yang dipilih Soon Koh tidak layak, namun Soon Koh merasakan sebaliknya, seperti juga sentimen Persekutuan dan 15 sekutunya.
Lihat presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) William Mawan, yang baru-baru ini melantik abangnya sebagai temenggong, sedangkan dia baru pulih dari strok!
Dalam kata lain, Harden melakukan apa yang dilakukan orang lain dan mereka semua sekadar memperkukuhkan kedudukan.
Persekutuan berhujah bahawa masyarakat Cina kecewa dengan kepimpinan Harden namun ini boleh dipertikai. Jurucakap mereka sendiri mengakui Harden selama 10 tahun ini menang dengan selesa.
Jadi pastinya keadaan baik-baik sahaja buat Harden.
Namun ini berbeza dengan persekutuan dan 15 sekutunya, yang dilihat seakan merungut tak tentu pasal.-The Ant Daily (Jimmy Adit)
Post a Comment