Himpunan 16 September rosakkan imej Najib, kata PAS


Himpunan “baju merah” yang bakal dianjurkan di ibu negara pada 16 September depan merugikan negara serta merosakkan imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata PAS.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Man berkata, parti Islam itu juga tidak terlibat dengan himpunan yang dianjurkan oleh mantan ketua menteri Melaka, Tan Sri Ali Rustam.

"Perhimpunan yang menyuburkan unsur perkauman ini langsung tidak membantu negara malah ia melemahkan perpaduan nasional dan akan merosakkan lagi imej Najib kerana dianjur oleh orang besar Umno seperti Ali," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau turut melahirkan kekesalan ekoran lambang dan bendera PAS disebarkan seolah-olah mereka terlibat dengan perhimpunan itu.
"PAS berasa kesal di atas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan bendera dan lambang parti PAS dan cubaan mengaitkan parti di dalam himpunan 16 September ini.

"PAS menegaskan ia tidak terlibat dalam himpunan tersebut dan turut melarang mana-mana ahli menghadirkan diri," katanya dalam kenyataan itu.

Ibu pejabat Umno difahamkan mengeluarkan notis menggesa bahagiannya di seluruh negara mengumpulkan ahli-ahlinya untuk turun ke himpunan tersebut.

Langkah ini berbeza dengan kenyataan Najib yang juga merupakan presiden Umno pada Rabu lalu menafikan parti itu menaja himpunan kontroversi tersebut.

Dalam sepucuk surat dikeluarkan Ibu Pejabat Umno dan ditandatangani Setiausaha Kerja Datuk Ab Rauf Yusoh, mengarahkan wakil semua perhubungan negeri menghadiri satu mesyuarat khas bagi membincangkan persiapan Perhimpunan Rakyat Bersatu, atau dikenali "himpunan baju merah" pada 4 September lalu.

Dalam surat yang dilihat The Malaysian Insider, mesyuarat khas itu diadakan di Menara Dato Onn, pada jam 9 pagi.

Himpunan itu dijadualkan berlangsung pada 16 September dan 10 Oktober depan, bertujuan antara lain, membantah himpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Himpunan itu menarik perhatian ramai apabila posternya menampilkan bayang individu bertanjak dengan melompat sambil menghunuskan parang, serta lokasinya iaitu di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Petaling di ibu negara.

Dua kawasan itu merupakan tempat tarikan pelancong di ibu kota yang didominasi peniaga kaum Cina.

Najib sebelum ini berkata Umno tidak menaja himpunan itu tetapi tidak akan menghalang ahlinya daripada menyertai himpunan tersebut. –The Malaysian Insider

Post a Comment

Klau bersih menaikan imej Lks KER?

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget