DAP Sarawak gesa Indonesia padam segera kebakaran hutan Kalimantan


Indonesia digesa segera padam kebakaran hutan di Kalimantan Barat


KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menggesa Kerajaan Republik Indonesia mengambil tindakan segera dan tegas untuk memadamkan kebakaran hutan yang sedang berlaku di Kalimantan Barat ketika ini.

Pengerusinya Chong Chieng Jen turut menggesa kerajaan republik itu mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang tanah dan kawasan konsesinya didapati melakukan pembakaran terbuka.

“Jika syarikat-syarikat itu didapati mempunyai kaitan dengan mana-mana syarikat atau individu di Malaysia, kalau boleh Kerajaan Republik Indonesia menyiarkan nama-nama mereka, dengan itu kami boleh mendesak agar tindakan diambil ke atas mereka di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isi kandungan surat berkaitan masalah jerebu di Sarawak yang diserahkan kepada Pejabat Konsulat Indonesia di sini semalam.

Menurut Chong, di dalam surat rasmi itu beliau turut menyatakan jerebu merupakan masalah di Sarawak sejak dua dekad lalu walaupun Kerajaan Malaysia telah menandatangani Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) sejak 2002.

Bagaimanapun katanya, tidak banyak yang dilakukan selepas itu, syarat serta terma dan langkah-langkah pencegahan yang dinyatakan di dalam perjanjian itu tidak dikuat kuasa dengan berkesan.

“Ketika industri kelapa sawit di Indonesia menunjukkan peningkatan dan kemajuan, kami di Sarawak, menderita kesan daripada pembangunan itu.

“Tahun ini, jerebu dialami lebih teruk berbanding tahun lepas.

“Malah setakat hari ini (semalam), penerbangan pesawat terpaksa dijadual semula menyebabkan rasa tidak selesa serta kerugian.

“Ramai jatuh sakit dan sangat tidak selesa terutama yang menghidap penyakit berkaitan pernafasan,” katanya.

Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata pihaknya menghargai usaha presiden republik itu (Joko Widodo) kerana mengawasi secara peribadi situasi di Sumatera dan menambah jumlah tenaga manusia serta sumber untuk memadamkan api di kepulauan itu.

Namun ujar Chong, berdasarkan imej satelit mendapati banyak titik panas dikesan di Kalimantan, Kepulauan Borneo.

“Jika tidak ada tindakan segera dan berkesan diambil untuk memadamkan kebakaran di Kalimantan, kita takut masalah jerebu teruk berulang di Sarawak seperti pada 1997 apabila bacaan indek pencemaran udara mencecah 600.

“Justeru DAP hari ini (semalam) menyerahkan surat meluahkan rasa bimbang dan menggesa tindakan segera serta sewajarnya diambil untuk menangani masalah ini kepada Kerajaan Republik Indonesia menerusi pejabat konsulatnya di sini,” jelas Chong.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget