Hentikan perhimpunan Baju Merah: Masing

Perhimpunan dikenali Himpunan Rakyat Bersatu merupakan sesuatu yang tidak sihat dan berbahaya

KUCHING: Rancangan Kumpulan Baju Merah melakukan perhimpunan di ibu negara esok, mesti dihentikan.

Menteri Kanan Negeri yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata perhimpunan dikenali Himpunan Rakyat Bersatu merupakan sesuatu yang tidak sihat dan berbahaya.

“Tidak kira sama ada Baju Merah, Baju Kuning atau Baju Hitam, perhimpunan atau de-monstrasi jalanan adalah tidak bagus.

“Perhimpunan atau demonstrasi jalanan untuk meluahkan perasaan atau mempengaruhi kerajaan yang hari ini yang mempunyai sistem pentadbiran baik seharusnya tidak timbul. Ia imej atau suatu yang hodoh dalam Malaysia,” ujarnya.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah menambah, tidak kira siapa pun penganjurnya, perhimpunan seperti itu tidak boleh dibenarkan berlangsung.

“Rancangan Himpunan Baju Merah di Kuala Lumpur untuk menandakan Hari Malaysia pada 16 September ini mesti dihentikan.

“Ia perbuatan tidak sihat. Ia berbahaya. Pihak berkuasa mesti menghalangnya daripada diadakan,” tegas Masing.

Menurutnya Malaysia mempunyai sistem sedia untuk rakyat menyatakan rasa tidak puas hati iaitu menerusi proses pilihan raya.

“Pilihan raya adalah sistem terbaik untuk kita menyuara-kan rasa tidak puas hati kepada kerajaan.

“Ia juga sistem terbaik untuk masyarakat pelbagai kaum seperti Malaysia,” tambahnya.

Media sebelum ini melaporkan Himpunan Rakyat Bersatu dijadual berlangsung pada 16 September dan 10 Oktober di Bukit Bintang dan Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

Perhimpunan itu diadakan sebagai tindak balas dan protes terhadap perhimpunan Bersih 4 yang dikatakan mengganggu perniagaan di kawasan tumpuan orang Melayu di ibu kota.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget