SERAH: Awang Ahmad (tengah) menyerahkan surat dan kain rentang yang dikumpul semasa perhimpunan BERSIH 4.0 di Kuching kepada wakil Pejabat Ketua Menteri sambil disaksikan oleh Karen. |
KUCHING: Tandatangan yang berjaya dikumpul semasa perhimpunan BERSIH 4.0 di Kuching telah diserahkan kepada Pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya semalam.
Penyerahan kain rentang yang mempunyai tandatangan orang ramai itu diserahkan oleh wakil penganjur Karen Shepherd dan Awang Ahmad Awang Ali yang diterima oleh wakil pejabat Ketua Menteri.
“Tandatangan yang dikumpul pada kain rentang semasa perhimpunan BERSIH 4.0 di Padang Song Kheng Hai, Padungan Kuching bulan lalu ini mewakili suara rakyat yang menyokong tujuan perhimpunan ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Karen memberitahu, kain rentang yang mempunyai tandatangan orang ramai itu turut diserahkan bersama sepucuk surat kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
“Surat itu mengandungi hasrat dan impian peserta perhimpunan Bersih 4.0,” tambahnya.
Ditanya sama ada beliau duka cita kerana tidak dapat bersua muka dengan Adenan secara peribadi, Karen berkata: “Tidak juga kerana saya yakin Ketua Menteri seorang yang sibuk.”
Bagaimanapun beliau berharap Adenan melihat dan membaca surat tersebut kerana ia mengandungi beberapa pesanan penting untuk melihat Malaysia yang lebih baik.
“Saya berharap beliau melihatnya dan mempertimbangkan apa yang dikehendaki rakyat Sarawak,” ujarnya.
- Borneo Post Online
Post a Comment