RAKAM KENANGAN: Len bersama Elly (enam kiri) serta jawatankuasa penganjur bergambar dengan Aaron Twite semasa majlis penutup KIBW malam kelmarin. |
KUCHING: ‘Kuching International Bike Week’ (KIBW) yang berlangsung dari 3 hingga 6 September lalu telah berakhir dengan jayanya.
Pengerusi penganjur KIBW yang juga Presiden Iron Tiger Bikers Club Kuching (ITBCK) Datin Elly Zalilah yang mewakili pihak jawatankuasa penganjur mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan acara itu.
Bukan itu sahaja jelasnya, acara yang mendapat sokongan penuh kerajaan negeri itu wajar dipuji.
“Terima kasih kerana memberi sokongan terhadap acara terbesar berkaitan motosikal ini.
“KIBW secara tidak langsung dapat membantu menggalakkan Kuching dan Sarawak amnya sebagai destinasi pelancongan dan kira-kira 1,200 penunggang mengambil bahagian dalam acara ini,” katanya pada Majlis Penutupan KIBW 2015 di sini, malam kelmarin.
Beliau turut berpendapat bantuan dan sokongan kerajaan sangat berguna. “Acara ini mempunyai kekuatan yang cukup untuk menjadikan negeri ini menjadi tempat tarikan kepada warga asing (dalam dan luar negara),” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut mendedahkan bahawa KIBW seterusnya akan berlangsung dalam dua tahun lagi iaitu pada 2017 dan jawatankuasa penganjur menyasarkan penyertaan lebih 2,000 penunggang.
“Selain penunggang tempatan, penunggang dari Semenanjung Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia, Arab Saudi, Australia, New Zealand dan Thailand mengambil bahagian dalam KIBW baru-baru,” ujarnya gembira.
Antara acara kemuncak KIBW baru-baru ini adalah kehadiran pelumba aksi profesional Amerika, Aaron Twite yang mengagumkan pengunjung dan rakyat negeri ini sepanjang acara tersebut.
Hadir pada majlis penangguhan di CityONE Rooftop, Cityone Megamall itu ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh.
Pada majlis tersebut, Aaron Twite sekali lagi mempersembahkan aksi hebatnya melibatkan penonton dan Len sendiri.
Ketika mengulas dalam ucapannya, Len memaklumkan bahawa beliau teruja mengambil bahagian dalam aksi Aaron Twite.
Sehubungan itu, beliau yang mewakili Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong acara itu dan berharap acara itu akan kembali ke Kuching semula dalam masa dua tahun dengan lebih meriah lagi.
“Dengan menyasarkan lebih banyak penyertaan besar dalam tempoh dua tahun, kita pastinya mahu KIBW menjadi peristiwa yang menghidupkan bandar dan negeri ini,” jelasnya.
Maklumat lanjut mengenai KIBW boleh dilayari di www.kibw.com.my atau lawati Facebook: Iron Tiger Bikers Club Kuching.
- Borneo Post Online
Post a Comment