PRN tentukan kepimpinan negeri

Pilihan raya Sarawak tiada kaitan pucuk kepimpinan pusat: Abdullah

KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang diadakan bagi rakyat Sarawak memilih kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem atau pembangkang untuk mentadbir Sarawak.

Pilihan raya itu tidak ada kaitan dengan pucuk kepimpinan di Semenanjung Malaysia.

Itu jawapan Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol ketika dihubungi untuk mengulas beberapa perkara yang dibangkit Ketua Menteri dalam satu wawancara khas menerusi TV3 baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang menghadapi serangan politik di Semenanjung, kenyataan sokongan Adenan terhadap Najib tidak akan menjejaskan langsung populariti Ketua Menteri di peringkat negeri.

“Pembangkang sedang menggunakan propaganda bahawa menyokong Adenan samalah dengan menyokong Najib.

“Kempen murahan oleh pembangkang seperti ini sebenarnya banyak berpihak kepada kami dalam BN kerana kita di Sarawak sudah muak dan meluat dengan budaya politik pembangkang yang gemar memutarbelitkan fakta serta menaburkan fitnah yang jelas akan menerbitkan budaya berburuk sangka dan kebencian,” jelasnya.

Katanya, majoriti pengundi di Sarawak semakin yakin untuk memberi peluang serta mandat yang besar kepada Adenan.

“Mereka tahu pilihan raya ini (kelak) ialah untuk menentukan Ketua Menteri dan bukan Perdana Menteri.

“Benar apa yang dikatakan oleh KM Adenan bahawa isu yang hangat diperkatakan di Semenanjung tiada kaitan langsung dengan keadaan kita di Sarawak,” tegasnya.

Adenan, katanya, tidak mahu kita terganggu dengan apa yang berlaku di Semenanjung, malah harus memberi tumpuan serius kepada keperluan kita di Sarawak lebih-lebih lagi terhadap usaha untuk membangunkan kawasan luar bandar.

Malah, katanya, Adenan mahu semua warga Sarawak bersikap dan berfikir lain daripada cara mereka di Semenanjung.

“Kita wajar dicontohi dari segi perpaduan kaum, benci kepada nada-nada perkauman serta menolak budaya konfrontasi yang hanya akan menimbulkan kacau-bilau dan keadaan ini sudah tentu melambatkan agenda pembangunan yang sangat kita perlukan.

“KM Adenan mahu kurangkan polemik politik, tetapi lebihkan usaha untuk membantu rakyat dengan merapatkan jurang keselesaan antara bandar dan desa,” ujarnya.

Mengenai sumbangan serta pesanan Abdullah kepada penduduk di kawasannya sempena Hari Raya Aidiladha yang akan datang, beliau memberitahu beliau telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM56,000 kepada 19 masjid di kawasan DUN Semop.

Beliau turut menyatakan tentang sumbangan seekor lembu untuk Kampung Selemas dalam kawasan DUN Meradong yang diwakili DAP di mana kos untuk lembu tersebut dikongsi bersama dengan ADUN Daro Murni Suhaili.

Beberapa hari lepas, warga kerja Pusat Khidmat N.36 Semop telah selesai menghantar beberapa sumbangan pelbagai barangan seperti barangan elektrik seperti kipas, sistem pembesar suara, peralatan sukan, khemah dan perkakas dewan kepada beberapa kampung dan rumah panjang di sekitar DUN Semop.

Nilai keseluruhan sumbangan barangan tersebut lebih kurang RM100,000.

Sehubungan itu, Abdullah menyeru sempena menyambut Aidiladha ini, semangat kerjasama serta gotong-royong di kalangan penduduk harus diperkasakan.

“Merapatkan kerjasama dan bersatu dengan memberi sumbangan tenaga dan dorongan adalah juga satu pergorbanan yang bermakna demi memajukan kawasan kita yang masih banyak perlu diusahakan,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget