PBB Cawangan Serumbu kemuka dua calon PRN

Kedua-dua calon berpotensi merupakan ahli jawatankuasa parti dan berasal dari kawasan Serumbu

MAKAN MALAM: Sora (tengah) bersama Miro, Austin serta ketua-ketua ranting, belia dan wanita PBB Zon Serumbu pada majlis makan malam baru-baru ini.
KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Serumbu telah mengemukakan dua nama kepada ibu pejabat parti sebagai calon di kerusi baharu berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Timbalan Pengerusi PBB Cawangan Bengoh John Sora Rusah berkata kedua-dua calon berpotensi itu merupakan ahli jawatankuasa parti dan berasal dari kawasan Serumbu.

“Kita harap parti akan mendengar suara rakyat di Serumbu dan memberi kerusi itu kepada PBB,” katanya pada Majlis Makan Malam PBB Zon Serumbu di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pemuda PBB Bengoh Miro Simuh, Ketua Cawangan PBB Peninjau Baru Austin Minjap, Setiausaha Cawangan Jeguk Ngamo serta ketua-ketua ranting, belia dan Wanita PBB Zon Serumbu.

Sehubungan itu, Sora yang juga bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri turut memberi jaminan bahawa jentera pilihan raya PBB Serumbu sudah bersedia untuk dikerahkan pada bila-bila masa pilihan raya diadakan.

Namun, katanya kelulusan terhadap calon mereka adalah bergantung kepada pucuk pimpinan parti khususnya Ketua Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Saya berharap sesiapa calon yang dipilih oleh parti mesti mempunyai kerjasama erat dengan Ketua Menteri untuk membangunkan kawasan Serumbu,” katanya.

Terdahulu, Sora berkata kekuatan PBB di Serumbu adalah jelas apabila telah membantu calon BN Datuk Seri James Dawos Mamit menang besar di Parlimen Mambong pada PRN lepas.

Menurutnya, PBB di Serumbu kini mempunyai ahli kira-kira 3,000 orang dan bilangan itu dijangka bertambah lebih banyak kerana ramai orang di kawasan itu berminat untuk menyertai parti berkenaan.

Justeru dengan kekuatan yang dimiliki PBB itu, beliau menegaskan bahawa adalah sangat sesuai dan wajar untuk kerusi DUN Serumbu diberikan kepada PBB.

Serumbu merupakan salah satu daripada kerusi baharu berikutan persempadanan semula kawasan DUN yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Orang di Serumbu sangat berminat dengan kerusi ini dan ini dapat dilihat semasa pilihan raya Parlimen yang lepas apabila kira-kira 75 peratus daripada pengundi di Serumbu telah mengundi calon PBB.

“Dengan itu kami yakin bahawa PBB akan memenangi kerusi Serumbu jika ia diberikan kepada PBB,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget