Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin berpandangan orang Cina hanya mahukan Najib berundur.
Katanya, tuntutan itu jelas boleh dilihat di dalam demontrasi yang dibuat oleh Bersih 4.0.
“Bersih 4 jelas tidak bercorak perkauman dan semua bangsa kelihatan menghadirinya. Tuntutannya juga untuk kepentingan semua kaum,” katanya.
Menulis dalam entri terbarunya di blog http://shahbudindotcom.blogspot.my/ , Shahbudin mendakwa masalah perkauman yang wujud ternyata jelas berpunca daripada Najib.
Katanya, ianya boleh dilihat berdasarkan sentimen perkauman yang dimainkan oleh pemimpin UMNO yang terlibat dalam Himpunan Rakyat Bersatu 16 September lalu.
“Himpunan Baju Merah pada asasnya tidak dapat disembunyikan daripada hakikat untuk menunjukkan sokongan dan mempertahankan Najib semata-mata tetapi telah ditukar corak menjadi perkauman dan Kemelayuan dengan harapan semua Melayu terkaut sama dengannya.
“Cubalah dengar apa kata penganjur dan semua pemimpin yang berucap di pentas Padang Merbok tempoh hari.
“Semuanya memuji Najib dan mempertahankan seolah-olah beliau masih kuat sokongannya sehingga sesiapa yang memakai pakaian merah pada hari tersebut juga diangggap menyokong Perdana Menteri,” katanya.
Sehubungan itu, Shahbudin berpandangan masalah ini selesai sekiranya Najib meletakkan jawatannya.
“Buang dan singkirkan punca masalah ini, selesailah semuanya. Tak perlu kalut-kalut dengan ancaman Cina, Melayu bangkit, maruah Melayu, mahukan tapak berniaga di Jalan Petaling dan sebagainya,” katanya.-Free Malaysia Today
Post a Comment