KUALA LUMPUR 19 Sept. – Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dikeluarkan hari ini mengesahkan mayat yang ditemukan di dalam tong dram bersimen di Subang Jaya dekat sini Rabu lalu adalah mendiang Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.
Kevin Anthony Morais |
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, ujian tersebut mendapati sampel DNA mayat tersebut sepadan dengan adik mangsa, Datuk Richard Morais.
“Walaupun keputusan ujian telah dikeluarkan, pemeriksaan ke atas mayat Kevin masih diteruskan oleh pihak patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Semalam, Richard hadir ke Jabatan Perubatan Forensik HKL pada pukul 8.30 pagi untuk melakukan ujian DNA bagi membolehkan mayat Kevin dibawa keluar untuk urusan pengebumian.
Menurut Zainuddin, mayat Kevin akan diserahkan kepada keluarga dalam tempoh terdekat selepas siasatan diselesaikan.
Ketika ditanya tentang barang bukti yang dibuang di dalam Sungai Kuala Selangor, dekat sini beliau memberitahu, pencarian masih belum berhasil.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang senjata yang digunakan suspek untuk membunuh Kevin.
Usaha mencari senjata tersebut akan terus dipergiatkan di seluruh kawasan sungai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat selain bantuan daripada Jabatan Pertahanan Awam dan pasukan khas.
- Utusan Online
Post a Comment