Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merakam ucapan takziah kepada seluruh keluarga jemaah haji yang diuji dalam tragedi kren runtuh di Masjidil Haram, Mekah petang Jumaat 11 September 2015.
Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah , mereka berkata “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali” (Al-Baqarah: 156)
Menurut laporan rasmi facebook Lembaga Tabung Haji hari ini, seramai lima orang jenazah haji Malaysia telah dilaporkan terkorban manakala dua lagi jemaah dilaporkan masih hilang.
Setakat kenyataan ini disediakan, seramai sekurang-kurangnya 107 orang jemaah terkorban manakala sekurang-kurangnya 238 orang tercedera akibat daripada tragedi berkenaan yang disebabkan angin kuat dan hujan.
KEADILAN mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan dikurniakan pahala syahid serta roh mereka ditempatkan bersama para syuhada’ dan solihin.
Manakala yang cedera, didoakan mereka juga dikurniakan kesabaran, kesembuhan dan semoga reda dengan ujian daripada Allah s.w.t.
KEADILAN juga berdoa semoga ahli keluarga mangsa tabah, sabar dan reda menerima ujian ini.
KEADILAN percaya pihak Tabung Haji dan Kerajaan Malaysia akan berusaha sebaik-baiknya memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji Malaysia menunaikan ibadah haji di samping terus mengemaskini keadaan jemaah haji yang terlibat dengan tragedi dari semasa ke semasa.
“Ya Allah, kurniakanlah aku ganjaran atas musibahku dan gantikanlah yang lebih baik daripadanya.” [Riwayat Muslim], Do’a daripada hadith Nabi Muhammad S.A.W.
Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat
14 September 2015
-Keadilan Daily
Post a Comment