KENYATAAN MEDIA
Sidang media mengalu-alukan kemasukan Dato’ Kamaruddin Jaffar dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam KEADILAN pagi ini di Ibu Pejabat KEADILAN di Tropicana.
Negara hari ini sedang mengalami krisis yang parah dan defisit keyakinan. Kesannya, ekonomi semakin gawat dengan nilai ringgit terus menjunam tanpa tanda-tanda dapat dipulihkan dalam waktu terdekat. Dalam masa sama, rasuah terus berleluasa dan kewibawaan institusi-institusi negara terus terhakis.
Malaysia tidak akan dapat diselamatkan melainkan melalui proses reformasi menyeluruh. Sebagai sebuah parti politik reformasi yang bertanggungjawab, kami mahu menggembleng kekuatan untuk menjadikan reformasi sebagai satu kenyataan bagi rakyat Malaysia.
Untuk melaksanakan reformasi tersebut tentunya memerlukan kekuatan politik. Justeru itu, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan terus meningkatkan kekuatan dengan penyertaan generasi muda dan juga golongan veteran yang komited dengan cita-cita perubahan.
Sebagai parti yang mendapat jumlah undi kedua terbesar dalam pilihanraya umum lalu, KEADILAN meraikan serta membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang komited dengan agenda reformasi demi menyelamatkan Malaysia.
Untuk itu, pada hari ini kita mengalu-alukan dan berbesar hati dengan penyertaan YB Dato’ Kamaruddin Jaffar, Ahli Parlimen Tumpat dan YBhg Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam keluarga besar Parti Keadilan Rakyat.
YB Dato’ Kamaruddin Jaffar akan memperkukuh dan memberdaya Pejabat Ketua Umum KEADILAN. Beliau juga akan berperanan sebagai Pengarah Politik dan Dasar bagi memberi input kepada Presiden dan Timbalan Presiden. Sebelum menceburkan diri dalam politik, YB Dato’ Kamaruddin pernah menjadi Setiausaha Agung ABIM. Justeru itu, beliau juga akan berperanan memperkukuhkan rangkaian dengan NGO Islam untuk membawa perubahan dalam negara dan jaringan bersama negara-negara Islam dan serantau.
Tan Sri Muhammad Taib adalah seorang yang mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran kerajaan dan politik. Sepertimana yang umum maklum, beliau adalah mantan Menteri Besar Selangor ke-11 dan pernah menyandang jawatan Naib Presiden UMNO.
UMNO yang merupakan tonggak BN kini dilanda masalah dalaman yang parah akibat dari skandal 1MDB yang gagal dijelaskan selain pengaliran dana berjumlah $2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Presiden parti tersebut.
Setiap hari kita mendengar suara tokoh dan aktivis UMNO sendiri yang hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan tertinggi mereka. Gejala ini pasti akan mendorong mereka mencari wahana yang boleh dipercayai untuk meneruskan perjuangan.
Dalam konteks ini, penyertaan Tan Sri Muhammad Taib tentunya tidak sendirian selain beliau boleh memainkan peranan untuk mensejahterakan rakyat khasnya di desa dan luar bandar serta menarik penyertaan dan sokongan mereka terhadap KEADILAN.
Beliau juga akan berperanan memperkasa Biro Penerangan dan Komunikasi khususnya demi mengangkat martabat masyarakat luar bandar termasuk komuniti Felda. Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk meraih sokongan luar bandar selepas lebih sedekad KEADILAN menjadikan bandar sebagai teras sokongan.
Penyertaan Tan Sri Muhammad Taib ini diyakini dapat membantu memperkukuh Pakatan Rakyat bagi melakar kemenangan dalam pilihanraya umum akan datang.
DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat
11 September 2015
-Keadilan Daily
Post a Comment