PASIR SALAK - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, perhimpunan jalanan bagi mendesak pertukaran kerajaan yang diadakan baru-baru ini tidak boleh dianggap sebagai mewakili suara rakyat Malaysia kerana tidak menggunakan proses demokrasi.
Beliau berkata, kuasa rakyat sebaliknya hanya boleh ditentukan melalui pilihan raya yang diadakan lima tahun sekali.
“Kerajaan hari ini bukanlah tidak mahu diadili oleh rakyat tetapi kita tahu, di tangan rakyatlah yang akan menentukannya. Pada waktu itu, hukumlah kita, adililah kita. Sama ada (kalau) kita baik, sokonglah kita, kalau tidak baik, rakyat boleh tentukan.
“Bukan kita berarak memakai baju satu warna dengan sikap angkuh menghina parti politik dan kerajaan. Itu kerja orang yang tiada nilai baik menghormati pemimpin, kita bukan manusia seperti itu,” katanya di Litar Dato’ Sagor di sini malam ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Rakyat Pasir Salak yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman merangkap Ahli Parlimen Pasir Salak; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Festival yang dianjurkan dengan kerjasama beberapa kementerian itu antara lain bertujuan menyemarakkan lagi semangat patriotisme, selain berkongsi pencapaian kerajaan dalam pembangunan negara sejak mencapai kemerdekaan.
Terdahulu, Najib yang menaiki bot Jabatan Bomba dan Penyelamat serta diiringi bot berhias, dibawa menyeberang Sungai Perak sebelum disambut oleh lebih 20,000 orang yang turut tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengannya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut melahirkan rasa hairan dengan pemimpin terdahulu yang disifatkan sebagai mudah lupa apabila menyertai perhimpunan jalanan tersebut.
Najib turut menegaskan, kemerdekaan negara akan terlepas sekiranya rakyat tidak bersatu daripada serangan pihak yang mempunyai agenda tertentu untuk merosakkan kestabilan negara.
- Utusan Online
Post a Comment