KUALA LUMPUR: Penganjur dan peserta Himpunan Baju Merah yang dirancang pada 16 September ini dinasihatkan supaya mengambil kira implikasi perhimpunan itu kepada negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, ini kerana setiap individu di negara ini seharusnya tidak menanam kebencian terhadap individu lain.
Begitu juga dengan media yang memainkan peranan penting untuk mengalakkan nilai-nilai positif dalam masyarakat, katanya.
“Sebagai menteri yang sayangkan masyarakat yang harmoni, saya menyeru orang ramai untuk kembali kepada nilai-nilai masyarakat Malaysia.
“Ramai orang datang ke Malaysia kerana masyarakatnya yang ramah dan baik. Ini yang kita mahu lihat. Ini merupakan kriteria masyarakat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan pada Selasa.
Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, menanam kebencian kepada orang ramai tidak akan menjadikan negara ini membangun.
“Kita harus ingat bahawa kita perlukan antara satu sama lain walaupun berbeza bangsa dan agama, kita perlukan satu sama lain untuk membangun.
“Kita perlukan satu sama lain untuk memastikan negara ini benar-benar Malaysia di mana kita semua mahukannya. Saya amat sedih sekiranya apa-apa berlaku disebabkan isu membabitkan perkauman dan keagamaan,” katanya.-Free Malaysia Today
Post a Comment