AMANAH, DAP Sarawak berunding cari persefahaman bentuk pakatan baharu


KUCHING: Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak dalam proses rundingan mencari persefahaman untuk bekerjasama membentuk pakatan baharu antara parti-parti pembangkang itu.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi AMANAH Sarawak Mohamad Fidzuan Zaidi dan Ketua Komunikasi parti itu Andri Zulkarnain Hamden pada sidang media bersama DAP Sarawak diketuai Pengerusinya Chong Chieng Jen di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, kesatuan perlu wujud antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terlebih dahulu sebelum pakatan pembangkang terdiri daripada ketiga-tiga parti itu dibentuk.

“Kesatuan perlu diwujudkan antara DAP dan PKR. Kami (AMANAH) mahu ia berlaku kerana kerjasama ketiga-tiga parti ini amat perlu jika kami mahu terus berjuang,” ujar Mohamad Fidzuan.

Kerjasama antara Pakatan Rakyat sebelum ini dipercayai sudah berakhir selepas DAP tidak bersetuju dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang memutus melaksanakan hokum hudud di negara ini.

Ekoran penubuhan AMANAH, sebuah parti ditubuhkan ahli PAS yang kecewa selepas ditolak oleh ahli lain pada muktamar tahunan Jun lalu, matlamat baharu ialah membentuk gabungan baharu dengan DAP dan PKR memandangkan mereka pengganti kepada PAS.

Sementara itu Chong berharap penubuhan AMANAH akan menunjukkan PAS tidak lagi relevan di negara ini .

Beliau yang sering mengkritik PAS, berkata PAS boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu bermula sekarang tetapi rakyat Malaysia akan mendapati AMANAH parti politik Islam yang lebih relevan.

“AMANAH adalah parti politik Islam yang sesuai untuk Malaysia. Visi mereka mendorong DAP membuat keputusan bekerjasama dengan mereka.

“Saya dengan gembira mengalu-alukan kehadiran AMANAH di Sarawak.

“Saya tidak sabar untuk menjalinkan kerjasama dengan parti politik ini. Kami boleh menjadi rakan kerja yang baik untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) Sarawak ,” jelasnya.

Sementara itu, Mohamad Fizduan berkata pihaknya akan menganjurkan dua program hujung minggu ini (6 September) di sini dalam usaha memperkenalkan AMANAH kepada umum.

AMANAH ditubuhkan pada 1 September 2015 dan kebanyakan ahlinya di negeri ini merupakan bekas ahli PAS Sarawak.

Menurutnya semua persoalan berhubung penubuhan parti itu dan kewujudannya di Sarawak akan dimaklumkan pada majlis itu nanti.

“Kami telah diarahkan oleh pucuk kepimpinan parti tidak bercakap dan apa tujuan kami di Sarawak kecuali pada majlis pada hujung minggu ini.

“Diharap semua faham kerana kami masih baharu, banyak perkara perlu diselesaikan,” tambahnya.

Menurutnya sejumlah 500 borang permohonan telah diedarkan di seluruh Sarawak setakat ini kerana parti itu berhasrat merekrut kira-kira 35,000 ahli di seluruh negara menjelang 16 September ini.

Bernama pada 1 September lalu melaporkan bahawa bekas Pengerusi Gerakan Harapan Baru (HB) Mohamad Sabu mengumumkan penggunaan AMANAH sebagai nama rasmi HB.

Pada 6 September ini, Ceramah Mega Bersama Pemimpin AMANAH akan diadakan di Hock Chang Lai Café’ Matang bermula jam 7.30 malam dan antara pemimpin yang akan memberi ceramah ialah Mohamad Sabu, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Dr Siti Mariah Mahmud.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget