Kenyataan Ahli Parlimen tidak dibenar bertanding DUN tidak merujuk kepada Mawan


KUCHING: Tan Sri William Mawan Ikom menegaskan bahawa kenyataan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem iaitu tiada Ahli Parlimen akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, tidak melibatkan beliau.

“Beliau tanpa diminta menjelaskan kepada saya, berkata kenyataan itu hanya merujuk kepada Ahli Parlimen dan ADUN Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)…ia adalah kenyataan umum.

“’William ini tidak melibatkan kamu, ia hanya untuk ahli audien PBB’ katanya kepada saya dalam satu mesyuarat lalu. Jadi kenyataan Ketua Menteri bukan masalah kepada saya,” katanya kepada pemberita semalam.

Bagaimanapun Mawan yang ketika ini merupakan Ahli Parlimen Saratok dan ADUN Pakan tidak memaklumkan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN disandangnya itu pada PRN nanti.

Kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN yang disandangnya kini dimenangi menerusi pilihan raya menggunakan tiket BN iaitu menerusi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Namun beberapa bulan selepas itu Mawan melepaskan jawatan sebagai presiden SPDP dan membentuk parti baharu dikenali Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), sebuah parti politik yang mendakwa mesra BN.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Adenan baru-baru ini yang menyatakan bahawa tiada Ahli Parlimen BN akan dicalonkan pada PRN yang mungkin dijadual pada awal tahun depan.

Terdahulu Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial menyerahkan geran projek kecil luar bandar (MPR) kepada 47 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negeri melibatkan hampir RM700,000.

Ditanya mengenai permintaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) baru-baru ini agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen selepas pembentangan Bajet 2016, Mawan berkata ia bukan penyelesaian kepada segala masalah.

“Pilihan raya bukan jawapan kepada semua masalah dihadapi negara ketika ini.

“Semua pihak boleh mencadangkan pilihan raya diadakan dan dalam konteks ini hanya PAS yang tahu sebabnya.

“Bagaimanapun Perdana Menteri mempunyai (hak) keistimewaan untuk menentu, memilih masa paling tepat, selesa dan strategik yang beliau rasa sesuai mengadakan pilihan raya termasuk melakukan perkara betul bagi memulihkan keadaan dihadapi negara sekarang,” katanya.

Tambahnya pilihan raya hanyalah forum terakhir menentukan cara mana yang betul atau sebaliknya, pihak yang menang dan kalah.

“Oleh sebab itu saya tidak pernah bersetuju dengan apa yang berlaku sekarang, perhimpunan, demonstrasi jalanan dan protes.

“Sebagai ahli politik, orang lama dan insan biasa, saya tidak suka semua itu, kerana kita sudah ada forum dan sistem yang baik. Kenapa kita perlu melakukan semua ini?” katanya.

Menurutnya lagi, pilihan raya hanyalah komitmen kepada proses demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Kalaulah pilihan raya diadakan lebih awal, persoalannya adakah ia akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi negara ketika ini. “Maka secara peribadinya bagi saya pilihan raya bukan penyelesaian kepada segala masalah,” ujarnya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget