KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembinaan 26,000 unit rumah Program Perumahan Rakyat telah diluluskan dalam Bajet 2015 lalu.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat untuk mengemukakan idea dan cadangan berkaitan untuk sektor Perumahan dan Kehidupan Bandar bagi pembentangan Bajet 2016 pula.
“Pembinaan 26,000 unit rumah Program Perumahan Rakyat telah diluluskan di dalam Bajet 2015. Berikan cadangan untuk sektor Perumahan dan Kehidupan Bandar bagi #Bajet2016 pula di https://najibrazak.com/bajet2016,” katanya menerusi laman Facebooknya hari ini.
Kata beliau, laman khas #Bajet2016 telah menerima banyak cadangan setakat hari ini dan masih belum terlambat untuk semua pihak turut sama menyumbang idea sehingga esok sebagai tarikh akhir penyertaan.
Pelbagai cadangan terutama berkaitan kos sara hidup dan pendidikan diutarakan oleh masyarakat menerusi laman tersebut yang dilancarkan 2 September lalu sempena pembentangan Bajet 2016 Oktober ini.
Antara cadangan popular dan mendapat sokongan tertinggi daripada peserta laman web tersebut adalah mengenai usaha untuk meneruskan bantuan pendidikan ke peringkat sarjana dan kedoktoran menerusi skim di bawah MyBrain15.
Najib sebelum ini memberitahu, sememangnya hasrat kerajaan untuk menjadikan suara rakyat sebagai asas pembentukan belanjawan negara.
- Utusan Online
Post a Comment