Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, Daerah Kecil Sematan dipilih sebagai lokasi merai Hari Malaysia peringkat negeri selari usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar.
“Ini kali pertama kita sambut Hari Malaysia di kawasan luar bandar seperti Daerah Kecil Sematan sebagai lokasi kerana ini hasrat dan keutamaan kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri memperhebat pembangunan rakyat luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama JawatanKuasa Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2015 di bilik mesyuarat, Kem Putra Sentosa Sematan di sini semalam.
Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Komuniti Datuk Peter Nansian Ngusie, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha dan ahli jawatankuasa Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Negeri yang lain.
Pada masa sama Jabu memberitahu pada Hari Malaysia peringkat negeri itu nanti Ketua Menteri akan memberi amanat dan nasihat kepada jentera kerajaan untuk memacu pembangunan luar bandar dengan lebih efektif di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
“Kita menumpu perkara ini bagi memastikan segala perancangan kerajaan di bawah RMK11 untuk memajukan kawasan luar bandar dapat dilaksana dengan lebih berkesan.
“Ia sekali gus merapatkan jurang antara luar bandar dan bandar,” tambahnya.
Menurutnya lagi, kerajaan mengambil kira penganjuran pelbagai program sambutan Hari Malaysia dengan melibatkan setiap lapisan masyarakat khususnya golongan muda.
“Ia penting bagi memberi kesedaran mengenai semangat cinta akan negara khususnya kalangan generasi muda supaya lebih proaktif untuk memberi kesinambungan terhadap pelbagai pembangunan yang diusaha kerajaan,” jelasnya lagi.
Dianggarkan 10,000 orang akan hadir pada sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di Daerah Kecil Sematan dengan pelbagai program menarik turut dianjurkan untuk menarik pengunjung.-Utusan Borneo
Post a Comment