Musuh UMNO serang kepala parti – PM


PEKAN  - Musuh politik yang mahu menumbangkan UMNO sebagai parti menunjangi kepemimpinan dan pentadbiran negara menggunakan formula membangkitkan kebencian rakyat terhadap pemimpin bagi melupakan jasa disumbangkan UMNO selama ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berikutan perubahan persekitaran politik pada masa ini, golongan itu menggunakan media sosial dan media antarabangsa sebagai senjata bagi menyemai kebencian serta membawa persepsi buruk kepada imej pemimpin parti berkenaan.

“Kita berdepan dengan satu persekitaran baharu yang mana me­lalui media sosial ini mereka boleh meracuni pemikiran rakyat benci kepada pemimpin sehinggakan segala kebaikan pemimpin sudah tidak ber­erti sama sekali.

“Kita boleh berjasa dan berbudi seribu satu macam tetapi satu dua perkara itu diperbesarkan seolah-olah langit akan jatuh menghem­pap kita, inilah mainan yang berlaku.

“Kebetulan berlaku kepada saya sebab saya presiden parti kerana kalau hendak jatuhkan pemimpin, dia serang kepada kepala parti itu. Jika kepala hilang kepercayaan maka mudahlah parti tumbang pada bila-bila masa. Inilah formula yang mereka gunakan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.

Yang hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Abu Bakar Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini.

Persidangan itu melengkapkan kesemua 191 persidangan perwakilan bahagian UMNO yang bermula sejak 27 Julai lalu.

Najib berkata, hakikatnya Malaysia pada hari ini sebuah negara yang maju dan dihormati dengan perubahan besar adalah kerana keutuhan perjuangan UMNO dari dulu hingga sekarang dan disokong parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, kata beliau, adalah penting untuk menyaring maklumat dalam suasana politik baharu yang mana rakyat mesti ada kebolehan untuk membezakan antara yang benar atau sebaliknya.

Perdana Menteri memberikan contoh kes Altantuya Shaariibuu yang sudah lama tenggelam tetapi dibangkitkan semula sedangkan beliau tidak pernah berjumpa dengan wanita Mongolia itu selain melafazkan sumpah dengan nama Allah SWT sebanyak tiga kali di dalam masjid dan pengesahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bahawa dia tidak terlibat langsung dalam kes berkenaan.

“Tiada gambar, bukti dan tiada SMS (khidmat pesanan ringkas). Kes ini sudah bertahun tenggelam dan kini dibangkitkan semula, ini politik hendak menjatuhkan pemimpin seolah-olah ada konspirasi dari atas dan bawah. Tidak cukup dari dalam, guna media antarabangsa.

“Ini semua hendak jatuhkan UMNO sebagai parti yang menunjangi kepemimpinan dan pentadbiran negara,” katanya yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Pekan.

Beliau mengajak perwakilan melihat situasi menjatuhkan bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein yang dituduh memiliki senjata pemusnah besar-besaran tanpa bukti dan keadaan di negara itu kini tidak lebih baik berbanding dahulu.

Dalam pada itu, Presiden UMNO itu menegaskan tidak pernah 'membeli' perwakilan atau ketua bahagian sepanjang bertanding pelbagai peringkat jawatan dalam parti untuk meraih sokongan mereka terhadapnya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, apa yang dilakukan hanya membantu parti melalui ketua bahagian untuk mengadakan program tertentu demi kepentingan rakyat.

“Seumur hidup saya dah bertanding banyak jawatan tetapi tidak pernah saya beli perwakilan, saya tidak pernah buat. Kalau ada yang kata saya buat demikian, itu adalah fitnah.

“Segala tindakan yang diambil bertujuan mengukuhkan parti supaya dapat terus bergerak ke hadapan,” tegas beliau.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget