Kaji mansuh sekolah vernakular

KUALA TERENGGANU 18 Sept. - Sudah tiba masa bagi kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan membuat pertimbangan serius ke arah pembentukan satu sistem pendidikan yang lebih efektif bagi menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini.

Syed Anuar Syed Mohamad
Presiden Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Syed Anuar Syed Mohamad berpendapat, langkah itu turut merangkumi kesediaan kerajaan memansuhkan sekolah vernakular secara beransur-ansur tanpa meminggirkan bahasa ibunda masing-masing seperti Cina, Tamil dan bahasa etnik lain.

Beliau berharap usaha bersungguh-sungguh dapat dilakukan tanpa mengira kepentingan politik serta pihak-pihak yang berkepentingan bagi memastikan hasrat melahirkan masyarakat berbilang bangsa yang bersatu padu serta saling menghormati dapat direalisasi.

“Sebagaimana kita lihat hari ini, kita masih gagal membentuk perpaduan dalam erti kata sebenar. Jadi, kita harap kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan dapat buat kajian tanpa ada kepentingan politik.

“Satu sistem pendidikan yang jitu perlu dilaksanakan dan kita tidak bermaksud agar kerajaan menutup sekolah-sekolah jenis kebangsaan (Cina dan Tamil) secara drastik. Tetapi mungkin dengan cara tiada lagi bangunan-bangunan baharu dibina dari semasa ke semasa,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan kepemimpinan MCA kelmarin yang mengemukakan aduan kepada pihak polis berhubung tindakan peserta Himpunan Rakyat Bersatu yang mereka dakwa telah menghasut.

Menurut Naib Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong, terdapat peserta himpunan di ibu negara kelmarin yang membawa sepanduk agar sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dihapuskan.

Syed Anuar yang juga Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) turut berpendapat, kerajaan perlu bertegas dalam perkara itu dan memberi lebih tumpuan untuk memperkasakan sekolah kebangsaan.

Beliau tidak menafikan kewujudan kekangan oleh pihak tertentu untuk mempertahankan sekolah vernakular menjadi punca sebenar yang menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat negara ini.

- Utusan Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget