Dennis mampu teruskan perjuangan bangun Baram

SEDIA BERKHIDMAT: Dennis (lima kiri) bersama bekas Pemanca Baya Ajang (enam kiri), Setiausaha Politik Ketua Menteri Richard Wil (tujuh kiri) dan Jok Ngau (tiga kanan) serta guru Sekolah Kebangsaan Long Atip, Hulu Baram.

MARUDI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau diyakini mampu meneruskan perjuangan membangunkan dan melonjakkan kemajuan pedalaman Baram jika diberi peluang untuk penggal seterusnya.

Ahli Majlis Daerah Marudi (MDM) Kaunselor Jok Ngau yang sentiasa menemani Dennis dalam lawatan kerjanya ke kawasan Telang Usan, yakin pembangunan di kawasan itu dapat diteruskan dengan lancar kerana Dennis merupakan pemimpin Orang Ulu yang mudah didampingi dan disenangi rakyat.

“Selain faktor kepopularitian beliau di kalangan penduduk Orang Ulu, Dennis merupakan pemimpin disegani dan diterima baik oleh pelbagai etnik masyarakat Orang Ulu dan tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan setiap etnik atau mendapat kerjasama mereka,” jelas beliau.

Malah, Dennis yang merupakan etnik Kayan berasal dari Daleh Long Bedian dalam kawasan Apoh, Baram juga pemimpin yang senang ditemui dan dibawa berbincang mengenai pelbagai isu dan masalah dihadapi rakyat di kawasannya.

“Dennis mempunyai prinsip kepimpinan dan beliau tidak meninggikan diri semasa menjalankan tugas ketika melawat kampung-kampung menyebabkan beliau disenangi masyarakat di Telang Usan dan mudah mendapat kerjasama,” katanya sambil berharap penduduk kawasan berkenaan terus memberi mandat dan kepercayaan kepada Dennis bagi membolehkan beliau membawa masuk lebih banyak pembangunan ke kawasan Baram.

Katanya Telang Usan masih memerlukan pembangunan dan sebahagiannya sudah dalam perancangan Dennis dan kerajaan negeri serta perlu dilaksana demi kebaikan dan manfaat rakyat kawasan tersebut.

“Kita mahu beliau terus memimpin masyarakat Telang Usan dan membawa lebih banyak pembangunan ke luar bandar khususnya masyarakat di Telang Usan yang masih kehausan pembangunan,” kata Jok.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget