Maklumkan SDNU jika masalah penempatan IPT, kekangan kewangan


KUCHING: Ibu bapa atau pelajar Dayak lepasan sekolah khasnya yang mengadapi masalah penempatan di institusi pengajian tinggi (IPT) atau kekangan kewangan disaran tampil berhubung dengan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU).

Timbalan Presiden SDNU Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ibu bapa atau pelajar berkenaan boleh berhubung dengan mana-mana cawangan SDNU berdekatan mereka.

“Kami mungkin tidak dapat memberi jaminan 100 peratus dapat membantu menyelesaikannya namun sebagai sebuah pertubuhan tertua Dayak yang telah lama ditubuhkan kami mempunyai kekuatan untuk didengar suaranya oleh kerajaan.

“Sebaik sahaja kami sudah ada senarai mereka yang menghadapi masalah ini, kami akan membawa atau merujuk perkara ini kepada pihak berkuasa berkaitan untuk menelitinya… jika pelajar ini tidak tampil kami tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama Ahli Majlis Tertinggi SDNU di ibu pejabat SDNU di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada majlis yang sama menyumbang RM10,000 kepada Dana Pendidikan SDNU yang baharu dilancarkan pada Mei 2015.

Jelasnya SDNU mungkin dapat membantu mereka yang memerlukan khasnya bantuan kewangan bagi pendidikan namun ia agak terhad memandangkan Dana Pendidikan itu baharu sahaja dilancarkan dengan geran RM100,000.

“Kami mungkin tidak mampu membantu semua tetapi yang penting dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Selain itu ia inisiatif permulaan SDNU dan kami berusaha untuk memastikan ia berkembang dan berjaya dalam meluaskan lagi bantuan ini,” katanya.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata, daripada RM100,000 Dana Pendidikan itu sebahagian daripadanya telah disumbangkan kepada penerima.

Mengenai perkembangan SDNU, Nanta berkata pertubuhan itu mencapai usia 60 tahun penubuhan pada tahun ini dan dijangka akan mengadakan satu majlis bermakna sebagai ulang tahun penubuhan itu.

“Kami merancang mengadakan satu majlis sebagai langkah permulaan dalam menyambut ulang tahun ke-60 kewujudan SDNU dan ia mungkin majlis paling bermakna,” katanya sambil memberitahu kini SDNU mempunyai 11,000 ahli berdaftar.

Beliau berkata, kepada mereka yang mahu menjadi ahli pelbagai faedah yang diperolehi mereka selain pertubuhan yang tertua itu juga sentiasa memperjuangkan melihat kebajikan komuniti Dayak sejak bertahun.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget