DAP, Umno guna hudud untuk serang Pas


ALOR SETAR - Pas mendakwa Umno dan DAP menggunakan isu hukum hudud sebagai ‘senjata’ untuk menyerangnya sejak sekian lama.

Presidenya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, serangan itu berjaya ditepis melalui penggubalan Undang-undang Kesalahan Syariah di Kelantan.

“Kita masih mengadakan perbincangan awal dalam soal hudud sebab ia adalah isu undang-undang dan memerlukan isu kehakiman. Mesti dibetulkan konsep kehakiman terlebih dahulu.

“Sebab itu Pas mengalu-alukan titah ucapan perasmian Yang di-Pertuan Agong di Parlimen untuk menaiktaraf mahkamah syariah. Pas sudah beri penerangan sejak 1977, sudah lama,” katanya kepada media selepas merasmikan Ijtimak Dewan Muslimat Pas Kedah sempena Karnival Jom Bersama Pas di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.

Menurutnya, penerangan itu dibuat melalui seminar dengan penglibatan semua parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum dikemukakan kepada undang-undang negeri.

“Sungguhpun begitu, sehingga hari ini masih belum dilaksanakan di Kelantan kerana perlu melalui proses demokrasi berparlimen,” katanya.

Mengulas mengenai penubuhan blok ketiga Pas dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang didakwa memberi kemudahan mudah untuk BN pada PRU14, beliau menafikannya.

“Kalah menang belum tahu lagi, bagi pilihan raya dulu. Mungkin puak ini (Pas) menang, kita tidak tahu. BN kalah atau Pakatan Harapan hilang begitu saja, kita tak tahu,” katanya.

Ditanya mengenai pandangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa blok ketiga pembangkang seolah-olah kosong tambah kosong sama dengan kosong, beliau menegaskan parti Islam itu tidak kosong.

“Pas tidak kosong kerana melalui persefahaman kita berjaya merampas Kelantan, Kedah dan Perak.

"Jatuhnya Perak bukan kerana Pas tapi sebab DAP dan PKR. Kena ingat itu, bukan sebab Pas lompat. Tapi orang DAP yang lompat,” katanya.

-Sinar Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget