Tradisi peralihan kuasa dalam PBB berjalan lancar

Persaraan bukti Jabu memberi peluang kepada generasi muda memperkukuhkan lagi PBB, kata Rundi


KUCHING: Persaraan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang daripada politik membuktikan beliau mahu memberi peluang kepada generasi muda memperkukuhkan lagi Perkasa atau Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) secara keseluruhannya.
Setiausaha Agung PBB Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata keputusan Jabu itu amat dihargai dan PBB sentiasa terbuka kepada khidmat nasihatnya selaku ahli politik dan ahli parti yang cukup berpengalaman.
“Beliau (Jabu) seorang yang sangat budiman, bagi saya keputusan beliau itu amat dihargai dan dihormati.
“Beliau merasakan sudah tiba masanya untuk memberi laluan kepada generasi muda untuk meneruskan perjuangan parti dan memperkasakan Pesaka khasnya dan PBB amnya,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Rundi yang juga setiausaha agung Barisan Nasional (BN) berkata keputusan Jabu itu menunjukkan tradisi peralihan kuasa dalam PBB berlaku dengan lancar dan begitu baik dipertahankan.
Beliau percaya dengan kesinambungan peralihan kuasa yang lancar seperti itu dalam PBB, akan menjadikan parti itu lebih mantap serta kukuh pada masa akan datang.
“Kami yang masih berada dalam parti memberi jaminan akan ‘menjaga’ parti dengan baik dan percaya parti akan bertambah kukuh pada masa akan datang…PBB akan terus mantap dan menjadi tulang belakang BN Negeri, dengan mengekalkan budaya seperti ini,” ujarnya.
Rundi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Debak semalam, iaitu Jabu tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar pada PRN nanti.
Sementara itu Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata keputusan Jabu itu seharusnya diberi penghargaan atas khidmatnya kepada Sarawak.
Tambahnya, sumbangan Jabu kepada pembangunan negeri ini selama empat dekad sangat besar dan telah membantu membentuk Sarawak hari ini.
“Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu telah memainkan peranan penting dalam permbangunan Sarawak sejak 42 tahun lalu.
“Kita amat berterima kasih atas khidmatnya dan berharap beliau akan terus memainkan peranan sebagai ‘orang penting’ serta berkaliber,” katanya.
Pengumuman Adenan itu sekali gus menamatkan kerjaya politik Jabu yang telah menjangkau 42 tahun.
Jabu, 75, meninggalkan kerjayanya sebagai pegawai pertanian Sibu untuk bertanding atas tiket Pesaka dalam Pilihan Raya Kecil Engkilili-Skrang 1973 berikutan peletakan jawatan Simon Dimbab Maja.
Pemilihan Jabu yang berusia 33 tahun ketika itu, amat tepat kerana beliau mencipta kemenangan tanpa bertanding dan kemudiannya beralih ke kerusi Layar pada PRN 1974.
Jabu memenangi kerusi Layar pada pilihan raya negeri itu (1974) dan daripada itu beliau terus mencipta nama apabila berjaya mempertahankan kerusi itu selama sembilan penggal berturut-turut.
Selain menggalas tugas sebagai ADUN, Jabu merupakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar juga Timbalan Presiden PBB telah berkhidmat di bawah tiga Ketua Menteri iaitu Tun Abdul Rahman Yakub, Tun Abdul Taib Mahmud dan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget