PKR mahu KM jamin pusat judi haram ditutup terus


KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memberi jaminan kepada rakyat bahawa pusat perjudian haram di bandar raya ini ditutup terus.

Naib Presiden Wanita parti itu, Voon Shiak Ni berkata, pihaknya mendapati sejumlah pusat perjudian haram di sekitar bandar ditutup baru-baru ini.

“Bagaimanapun, kami sangat terkejut apabila dimaklum pemberi maklumat bahawa pusat judi haram yang diarah tutup itu akan dibuka semula pada Mei ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Justeru Voon juga calon PKR bagi kerusi Batu Kitang mahu kepastian daripada Ketua Menteri, sama ada tindakan menutup pusat perjudian haram hanyalah gimik pilihan raya.

“Kami mahu bertanya kepada Ketua Menteri adakah tindakan menutup pusat perjudian haram di sekitar bandar raya Kuching benar atau hanya gimik politik kerana pilihan raya semakin hampir?” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Voon mahu polis dan masyarakat sedia maklum modus operandi ‘keldai dadah’ menggunakan kawasan kediaman sebagai pusat pengedaran dadah.

“Kami menerima maklumat mengenai modus operandi ini dan berasa sangat bimbang,” katanya namun enggan mendedahkan kawasan yang dimaksudkan.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati apabila melihat kelibat orang mencurigakan di kawasan kediaman mereka.

“Usaha membanteras apa jua bentuk aktiviti jenayah, memerlukan kerjasama setiap pihak.

“Usaha keras antara polis dan masyarakat amat perlu untuk membanteras aktiviti haram ini,” ujarnya. - Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget