Saya fikir anda sudah tahu apa keputusan saya di Dun Pakan - Adenan


PAKAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata beliau kagum melihat kehadiran pengundi yang begitu ramai pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini, semalam.

Melihat kehadiran pengundi begitu ramai itu, Adenan dengan nada berseloroh berkata beliau berasa ‘gerun’ dengan ‘lautan manusia’ yang dianggarkan hampir 9,000 orang itu.

“Saya fikir ini adalah bilangan hadirin paling ramai berkumpul di Pakan. Saya fikir anda sudah tahu apa keputusan saya,” katanya ketika berucap pada majlis anjuran Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) itu.

Ujarnya beliau sedia maklum serta mengakui TERAS dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) melobi untuk mendapatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan tetapi orang yang bakal dipilih nanti sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan mendapat undi.

Adenan memberitahu, undi itu amat penting kerana beliau perlukan lima tahun lagi untuk memerintah Sarawak sebagai Ketua Menteri sambil membayangkan pilihan raya mungkin akan diadakan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

Ujarnya beliau akan bertemu dengan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk memaklumkan mengenai pembubaran DUN dalam tempoh dua minggu lagi.

Tambahnya, semalam merupakan majlis Ketua Menteri bersama rakyat memperlihatkan kira-kira 9,000 hadirin membanjiri Laman Pakan hanya untuk bersamanya.

Dalam perkembangan lain, Adenan mengingatkan Dayak bukan lagi ‘Lain-Lain’ dan jika komuniti berurusan dengan borang rasmi kerajaan, kaum mereka harus diisi pada ruangan bangsa bukan lagi ‘Lain-Lain’.

Beliau juga tidak mahu ada pihak yang menggelar kaum Cina sebagai pendatang kerana sekiranya mereka dilahir dan dibesarkan di Sarawak, mereka bukan pendatang haram.

Menurutnya kerajaan negeri di bawah kepimpinannya melaksana pelbagai inisiatif untuk mengurangkan beban rakyat ekoran kos hidup yang tinggi selain kesan sampingan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Saya akan terus berjuang untuk Sarawak dalam rundingan bagi kuasa autonomi dan bayaran royalti lebih baik daripada kerajaan pusat.

“Rundingan ini mungkin mengambil sedikit masa, kerana terdapat isu-isu berkaitan yang sangat rumit,” ujarnya.

Tambahnya, Sarawak masih ketinggalan berbanding beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dalam pembangunan infrastruktur.

“Oleh kerana itulah saya mesra dan menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan pusat dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Ini kerana saya mahu mendapatkan semua ini untuk Sarawak,” ujarnya.

Jelasnya, sekiranya tiada hubungan baik antara beliau dan Najib, rundingan mengenai kuasa autonomi dan sebagainya dengan kerajaan pusat tidak dapat dilakukan.

Najib katanya, sudah mengunjungi Sarawak hampir 50 kali dan memperuntukkan RM3 bilion dana pembangunan untuk negeri ini.

Sementara itu Presiden TERAS Tan Sri William Mawan Ikom berkata beliau amat gembira kerana konstituensinya terus bersabar dan mempercayai kepimpinan BN.

Beliau percaya kerajaan BN, tahu akan perkara itu dan mahu rakyat khasnya di Pakan kekal bersatu supaya pembangunan di situ dapat dipermudahkan lagi.

“Populasi di sini tidak besar tetapi Pakan boleh menjadi sebuah daerah dan ini adalah saat paling bersejarah.

“Jika anda (rakyat Pakan) mahukan pembangunan, anda seharusnya mengundi untuk itu (BN),” ujar Menteri Pembangunan Sosial itu.

Ujarnya rakyat sudah bosan dengan ‘perbalahan remeh’ antara pemimpin-pemimpin BN dan sekarang tiba masanya untuk menyelesaikannya sambil mengingatkan pihak yang berbalah itu, PRN semakin dekat.

Kunjungan Adenan ke Pakan semalam merupakan yang keempat tahun ini dan kedua minggu ini.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget