Tiong janji SPDP berdiri teguh di belakang Adenan


MARUDI: Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang juga Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing memberi jaminan bahawa parti itu akan kekal berdiri teguh di belakang Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
Tiong turut berharap Adenan akan meneruskan kepimpinannya untuk tempoh lima tahun lagi atau sehingga beliau mengundur diri.
Katanya sokongan SPDP khususnya di Marudi, dibuktikan dengan kehadiran hampir 95 peratus pengundi kawasan DUN Marudi dan daripada jumlah itu, 10,000 datang membanjiri Dewan Suarah Baram sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran SPDP di sini, semalam, sebahagian besarnya penduduk tempatan Marudi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kepada Ketua Menteri bahawa semalam juga turut mencipta sejarah baharu penduduk Marudi khasnya kaum Cina, apabila ramai pengusaha premis sanggup menutup kedai dan operasi perniagaan mereka selama dua jam bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, semata-mata mahu hadir pada majlis tersebut.
Kehadiran mereka bukan sahaja kerana mahu memberi sokongan kepada Adenan, tetapi menyatakan sokongan padu kepada calon SPDP yang disebut-sebut mewakili parti itu di kerusi DUN Marudi Datu Dr Penguang Manggil.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011, kerusi Marudi menyaksikan ramai pengundi Cina memprotes tidak keluar dan turun mengundi, tetapi keadaan kali ini dikatakan bakal berubah apabila masyarakat Cina Marudi mulai menunjukkan sokongan terhadap SPDP dan Penguang dari awal lagi.
“Sokongan padu mereka tunjukkan kepada Penguang dan parti ini, serta hasil pertemuan bersama mereka dalam siri perjumpaan bersama rakyat sebelum ini, saya memberi jaminan bahawa Cina sudah bersedia turun memberi sokongan,” tegas Tiong.
Menurut Tiong lagi, Penguang mempunyai keistimewaannya tersendiri dalam usaha mendampingi rakyat dan selama ini beliau serta pasukannya sudah menjelajah setiap pelosok rumah panjang dan kampung untuk mengambil hati ahli parti bukan sahaja parti komponen Barisan Nasional (BN) tetapi termasuk TERAS, PKR dan DAP.
“Malah sejak beliau bergerak mengadakan perjumpaan dengan rakyat, beliau berjaya membawa masuk hampir 3,000 ahli untuk direkrut dan menyertai SPDP.
“Kehadiran Ketua Menteri ke pekan Marudi pagi ini (semalam) juga menjelaskan bahawa penyokong yang hadir benar-benar menyokong Ketua Menteri dan BN,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Ahli Perlimen Baram Anyi Ngau dan Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusof. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget