Rakyat Sarawak harus fokus isu utama bukan isu remeh


KUCHING: Rakyat Sarawak diingatkan agar terus memfokus kepada isu-isu utama bukannya isu remeh-temeh.

Ketua S4S (Sarawak for Sarawakian) Peter John Jaban percaya walaupun setiap orang berhak dihormati dan mempunyai hak bersuara menentang gurauan berbaur perkauman dan diskriminasi jantina namun ia hanyalah perkara kecil dalam landskap politik sekarang.

Tindakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memohon maaf kerana gurauan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ‘mencari isteri Iban’ sesuatu yang terpuji dan dihargai.

“Adenan melemparkan gurauan pada hujung minggu lalu dan memberi kesan sebaliknya kepada beliau. Gurauan beliau memang menimbulkan rasa kurang senang.

“Saya percaya jika gurauan mengatakan wanita Melayu seharusnya mengahwini lelaki Iban, ia juga boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan wanita Melayu.

“Bagaimanapun, saya percaya beliau (Adenan) tidak berniat jahat. Sudah tentu tidak sama sekali.

“Tambahan tiada ahli politik dengan sengaja ‘mengasingkan’ pengundi, tidak kira apa perasaan sebenar mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Peter juga merayu rakyat negeri ini agar memberi tumpuan kepada isu-isu utama kerana baginya pengajaran penting boleh dipelajari daripada perkara itu ialah Adenan lebih menggembirakan tetamu kehormatnya daripada parti pemerintah daripada perasaan sebahagian besar pengundinya.

“Ia adalah kecuian pada tahap terbaik. Jadi marilah kita terus memfokus kepada perkara-perkara penting, iaitu hak kemanusiaan kita yang semakin terhakis, ekonomi, peningkatan kos sara hidup dan GST, kehilangan tanah atau penduduk luar bandar.

“Selain rundingan autonomi termasuk rundingan bayaran royalti minyak, peruntukan pembangunan dan pengagihan yang betul untuk menambah baik kemudahan asas rakyat Sarawak, malah peluang sama rata kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan gender,” ujar Peter.

“Sarawak (kini) dalam masalah sebenar. Ini bukan masanya untuk mengalih tumpuan kepada perkara remeh-temeh,” tegasnya.

Semalam Adenan dalam satu sidang media memohon maaf kepada komuniti Iban khasnya jika gurauan beliau itu menyinggung perasaan kaum berkenaan.

“Saya mengatakannya dengan rasa gembira. Ia hanyalah satu gurauan. Malah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) ketawa mendengar gurauan saya itu dan beliau (Najib) tahu itu adalah satu gurauan.

“Namun jika ada orang atau pihak menganggap ia salah dan berasa tersinggung, saya minta maaf,”ujar Adenan.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget