UPP sasarkan 85 peratus pengundi Bumiputera sokong BN Bawang Assan


SIBU: Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP), Dato Sri Wong Soon Koh menyasarkan sekurang-kurangnya atau lebih 85 peratus pengundi Bumiputera menyokong calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Bawang Assan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Wong memberitahu, sokongan daripada Bumiputera pada PRN 2011 adalah 78 peratus dan pada pilihan raya umum lalu adalah 83 peratus dan kali sasaran 85 peratus untuk memberi mandat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai kerana dalam masa dua tahun sejak pelancaran Program Transformasi Desa, banyak pembangunan infrastruktur dan kemudahan seperti bekalan elektrik, air dan telekomunikasi dicapai di kawasan itu.
Jelasnya, pembangunan pesat itu dilaksanakan melalui peruntukan RTP, PIA/Pias/Marris, RMK dan MRP yang diluluskan oleh kerajaan negeri.
“Pada 2015, projek-projek berjumlah RM31 juta dilaksanakan dan tahun ini RM5 juta diluluskan di bawah Program Transformasi Desa dan banyak lagi projek bakal diluluskan.
“Jika kita berhasrat kestabilan politik, pembangunan pesat dan pertumbuhan ekonomi maju diteruskan, kita mesti menyokong sepenuhnya calon-calon pasukan Adenan iaitu BN,” katanya pada perasmian Seminar Politik JKKK Rumah Panjang Bawang Assan di sini semalam.
Kira-kira 100 peserta dari 100 buah rumah panjang di kawasan Bawang Assan menghadiri seminar itu.
Hadir sama Pengerusi Unit Bumiputera UPP Bawang Assan, Andrew Shilling.
Menteri Kewangan Kedua itu turut memberitahu, terdapat beberapa projek mega telah dilaksanakan di kawasan Bawang Assan untuk keselesaan penduduk.
Antaranya ialah projek jalan bertar Tanjung Kibong ke Tutus, Sebedil dan Kampung Bungan bernilai RM100 juta di bawah RMK-11, projek bekalan air dari Sungai Rassau ke Sungai Pinang  bernilai RM6 juta.
Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar dalam proses implimentasi ke Tutus dan Sebedil bernilai RM14 juta dan bekalan ke kawasan lain seperti Kampung Bungan Besar, Sungai Pinang dan Sungai Banyok dilaksanakan secara berperingkat.
“Kita perlu sedar kemenangan BN dengan majoriti tinggi amat mustahak demi kepentingan rakyat.
“Oleh itu, semua penduduk harus berganding bahu dan bekerjasama antara satu sama lain mencapai kejayaan pada PRN kali ini,” jelasnya.
Sementara itu, Andrew berkata sekiranya Wong dipilih menjadi calon bertanding di kerusi Bawang Assan, beliau percaya lebih banyak pembangunan dilaksanakan di kawasan tersebut.
“Sebanyak 47 peratus penduduk di Bawang Assan adalah Bumiputera dan selebihnya merupakan masyarakat Cina.
“Justeru itu, penduduk di rumah panjang sentiasa bersatu dan berusaha keras memastikan Wong mendapat peratusan undi sebanyak mungkin kerana beliau sahaja boleh menaikan taraf hidup penduduk di sini,” katanya. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget