DAP gantung keahlian Leong San


MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh Leong San digantung keahlian daripada DAP dan diisytiharkan sebagai wakil Bebas pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas ketua pembangkang negeri ini digantung keahliannya daripada DAP selama setahun atas faktor masalah disiplin yang diputuskan Jawatankuasa Disiplin parti itu pada Februari lalu.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Speaker DUN, Datuk Othman Muhamad yang pada masa yang sama turut melantik ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong (DAP) sebagai ketua pembangkang baharu manakala ADUN Banda Hilir, Tey Kok Kiew (DAP) dilantik menjadi Ketua Whip.

Sebelum ini, jawatan ketua pembangkang di negeri ini kosong selama lebih dua tahun setelah Leong San yang juga bekas Pengerusi DAP negeri meletak jawatan sebagai ketua pembangkang negeri pada 8 Oktober 2013.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Othman memberitahu, pengumuman pertukaran itu dibuat selepas beliau menerima surat daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan partinya telah melantik Poay Tiong sebagai ketua pembangkang negeri yang baharu.

“Dalam surat tersebut, DAP turut mencadangkan kedudukan Leong San di dalam Dewan diubah ke tempat ketiga selepas ketua pembangkang negeri serta Ketua Whip.

“Leong San yang turut menghantar surat kepada saya bagaimanapun menolak cadangan DAP itu dan memilih untuk duduk di tempat ketujuh selepas ADUN Bukit Baru, Dr. Md Khalid Kassim (Pas) dan ia secara tidak langsung menjadikan beliau sebagai wakil Bebas,” kata­nya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Othman, keputusan Leong San menjadi wakil Bebas itu merupakan pilihannya sendiri dan beliau turut tidak membantah apabila dimaklumkan mengenai kedudukannya di dalam Dewan.

“Beliau tidak membuat permohonan rasmi untuk menjadi wakil Bebas tetapi tindakannya meminta agar tempat duduknya dipindahkan itu sudah menunjukkan bahawa dia mahu menjadi wakil Bebas,” kata beliau.

Othman berkata, pihak Dewan menghormati keputusan yang dibuat oleh Leong San dan berharap beliau akan menjadi seorang wakil rakyat yang mampu memberi kritikan membina kepada kerajaan negeri.

“Tidak kira beliau cenderung ke arah pembangkang ataupun Barisan Nasional (BN) tetapi apa yang penting diharap dia menjadi wakil rakyat yang mampu memberi kritikan serta pandangan secara membina,” tambahnya.

Sementara itu, Leong San ketika ditemui memberitahu, walaupun telah digantung daripada DAP, beliau akan terus bersuara demi kebaikan rakyat terutamanya di kawasannya.

“Saya akan menjalankan kerja seperti biasa dan tidak mempunyai sebarang perancangan lain kecuali bersuara untuk rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menyatakan sebarang hasrat untuk kembali menyokong atau menyertai DAP selepas tempoh penggantungan tersebut yang berkuat kuasa selama setahun.

- Utusan Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget