UEC: Langkah k’jaan negeri diyakini tidak terjejas

Adenan yakin Sarawak, institusi negeri tidak akan terjejas meskipun k’jaan pusat terus enggan iktiraf


LUNDU: Pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) oleh kerajaan negeri tidak akan terjejas meskipun kerajaan pusat mengambil pendirian sebaliknya.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata demikian pada sidang media di Dewan Masyarakat Lundu di sini semalam.
Terdahulu beliau melancarkan Jentera Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) N.3 Tanjong Datu di dewan sama.
“Sama ada mereka (kerajaan pusat) mengiktiraf atau tidak UEC itu adalah terpulang kepada mereka.
“Tetapi bagi pihak kerajaan negeri dan juga institusi di peringkat negeri kita mengiktiraf UEC,” katanya.
Tambah Adenan, beliau berharap kerajaan pusat mengiktiraf UEC namun jika mereka enggan, ia tetap tidak menjejaskan langkah diambil oleh kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dalam kenyataannya sebelum ini berkata kerajaan pusat berkemungkinan tidak akan mengiktiraf UEC.
Ini kerana menurut Idris, apa yang diiktiraf oleh kerajaan pusat harus konsisten dengan Polisi Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan.
“Saya telah menyatakan dengan konsisten bahawa apa yang diiktiraf oleh kerajaan pusat harus konsisten dengan Polisi Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan.
“Pada Jumaat, saya berbincang perkara ini dengan Senator Prof Dr Sim Kui Hian bahawa apa-apa yang dikeluarkan oleh UEC harus konsisten dengan Polisi Pendidikan Kebangsaan,” katanya.
November lepas, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap berkata kementerian akan meneruskan polisi sedia ada yang tidak mengiktiraf UEC sebagai kelayakan kemasukan ke universiti awam. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget